redzuan.muharam@hmetro.com.my
Ipoh: Tanpa paksaan sesiapa, tiga gadis berbangsa India ini dengan rela hati bertudung litup sebagai tanda hormat ketika menghadiri majlis akad nikah sahabat baik mereka yang berlangsung di sebuah surau di Chemor.
Gelagat mereka bersiap menyarung hijab untuk menghadiri majlis itu mendapat perhatian selepas video dimuat naik rakan mereka, Nur Liyana Zulaikha Mat Rashid, 23, di TikTok.
Menurut Nur Liyana Zulaikha, video itu dirakam Ahad lalu ketika dia dan enam rakan termasuk Thivya, 20; Gayathiri Sugumaran, 26; dan Sharvini Murugiah, 29; hadir untuk mejadi pengapit raja sehari.
Katanya, Thivya, Gayathiri dan Sharvini yang juga bekas rakan sekerjanya memakai baju kurung lengkap dan membawa bersama tudung serta selendang.
“Ikutkan boleh saja pakai selendang, tapi mereka mahu cuba memakai tudung.
“Jadi saya bantu pakaikan dan ada rakan lain tolong gosokkan tudung, walaupun ketika itu kami sudah terlambat ke majlis.
“Waktu siapkan mereka, saya sempat juga rakam video dan saja kongsi di TikTok. Tak sangka pula dapat perhatian, tapi rata-rata netizen beri komen positif,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Sebagai rakan, Nur Liyana Zulaikha gembira kerana dapat membantu tiga sahabatnya yang bukan Muslim itu bersiap ke majlis akad nikah berkenaan.
“Mereka tak pernah pergi majlis akad nikah orang kita (Islam), jadi nampak gembira bila dapat (rasai) pengalaman itu.
“Mereka juga luahkan perasaan kagum dan hormat terhadap wanita Muslim yang memakai tudung.
“Ini kerana mereka akui tak mudah pada awalnya (memakai tudung), tapi saya pun kagum dengan mereka kerana ada keinginan mencuba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




