Chennai: Pelakon yang terkenal menerusi filem Taj Mahal iaitu Manoj Bharathiraja meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Chetpet, Chennai, semalam.
Berita duka itu disahkan pengurus Manoj kepada sebuah portal berita India yang memaklumkan Manoj baru saja menjalani pembedahan pintasan jantung dan sedang dalam proses pemulihan di kediamannya namun mengalami serangan jantung petang semalam.
“Manoj baru saja menjalani pembedahan pintasan jantung dan sedang berehat di rumah. Namun, dia menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung di kediamannya. Ia sesuatu yang amat mengejutkan.
“Tarikh pengebumian dan upacara lain masih belum ditentukan,” kata pengurusnya.
Manoj yang meninggal dunia pada usia 48 tahun meninggalkan seorang isteri, Ashwathi atau lebih dikenali sebagai Nandana, serta dua orang anak perempuan, Arshitha dan Mathivathani.
Berita kematian Manoj mengejutkan ramai pihak, dan beberapa selebriti mengucapkan takziah di media sosial.
Antaranya ialah pelakon dan ahli politik, Khushbu Sundar yang terkejut mendengar berita pemergian Manoj.
“Kehilangannya pada usia muda ini sangat menyakitkan. Beliau baru berusia 48 tahun. Semoga Tuhan memberikan kekuatan kepada ayahnya, Thiru dan keluarganya untuk menghadapi kehilangan yang amat perit ini. Anda akan dirindui, Manoj. Berehatlah dengan aman,” kata Khushbu di aplikasi X.
Sementara itu, pelakon terkenal, Kamal Haasan turut bersedih dengan berita pemergian itu.
“Saya amat terkejut dan sedih mendengar berita pemergian Manoj, anak kepada pelakon, rakan saya, dan pengarah tersayang Bharathiraja.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang paling mendalam kepada Bharathiraja, keluarganya, dan rakan-rakan yang sedang berduka atas kehilangan ini,” tulisnya di aplikasi X.
Sebagai anak kepada pengarah tersohor Bharathiraja, Manoj memulakan kerjayanya dalam industri filem menerusi filem arahan bapanya, Taj Mahal.
Sepanjang kariernya, dia turut membintangi filem seperti Alli Arjuna, Samudhiram dan Varshamellam Vasantham.
Selain berlakon, Manoj pernah menjadi pembantu pengarah kepada pengarah terkenal Shankar dalam filem Enthiran. Beliau juga membintangi beberapa watak sampingan dalam filem seperti Champion, Eeswaran, Maanaadu dan Vir.
Selain itu, Manoj juga mengikut jejak langkah bapanya apabila turut terbabit dalam bidang pengarahan menerusi filem Margazhi Thingal pada 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd