Mansuh doktor kontrak elak penghijrahan – MMA

Mansuh doktor kontrak elak penghijrahan – MMA

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan memansuhkan lantikan jawatan doktor secara kontrak bagi memulihkan keyakinan mereka untuk terus berkhidmat dalam sektor awam.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira, berkata ia antara langkah segera yang perlu dilaksanakan mengambil kira peningkatan doktor yang memilih untuk berhenti dan berhijrah keluar ke sektor swasta, institusi lain atau ke luar negara.

Katanya, melalui pendekatan itu, ia berupaya mengembalikan keyakinan doktor muda yang bimbang mengenai isu jaminan dan kemajuan dalam profesion mereka sekiranya bekerja dalam sektor awam.

“Pertama kembalikan semula dasar dahulu iaitu tawarkan jawatan tetap (bersama tempoh percubaan) kepada semua doktor baharu seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Sistem doktor kontrak diwujudkan kerana berlaku peningkatan mendadak graduan perubatan baharu yang menamatkan pengajian dan kekurangan jawatan tetap sedekad yang lalu.

“Situasi ini tidak berlaku lagi sekarang kerana jumlah (graduan dalam bidang perubatan) telah menurun secara drastik dan sepatutnya terdapat tempat yang mencukupi bagi pengambilan doktor baharu bagi jawatan tetap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laman X HartalDoktorKontrak baru-baru ini memuat naik satu hantaran mengandungi iklan promosi sesi temu duga pegawai dan profesional perubatan yang dijadualkan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada bulan depan.

Susulan daripada itu, Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran, menggesa reformasi segera dilaksanakan kerajaan kerana tawaran lumayan oleh Singapura dikhuatiri mempercepatkan penghijrahan doktor Malaysia ke luar negara.

Dr Kalwinder turut meminta kerajaan supaya memenuhi janji bagi meningkatkan kadar bayaran elaun ‘on-call’, sebagaimana diumumkan pada tahun lalu.

“Kerajaan mesti mempercepatkan kenaikan kadar elaun ‘on-call’ di sektor awam yang sekian lama tertunggak. Perlu difahami bahawa bagi mengekalkan petugas kesihatan akan memerlukan kos. Bajet khas mesti diperuntukkan untuk emolumen dan elaun on-call untuk doktor dan jururawat yang menjadi tulang belakang penjagaan kesihatan di negara ini yang bekerja berjam-jam demi menjaga rakyat.

“Kadar semasa tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

MMA turut menyarankan supaya diwujudkan laluan kerjaya yang jelas dan terbuka. Katanya, kerajaan perlu menyediakan peluang yang lebih telus dan tersusun untuk doktor menjalani latihan kepakaran.

Tegasnya, langkah termasuk menyediakan peluang latihan kepakaran perlu dipertingkat mengambil kira negara berdepan kekurangan kritikal doktor pakar.

“Kerajaan juga perlu menyelesaikan isu ‘parallel pathway’ dengan membenarkan latihan kepakaran di bawah program pascasiswazah di hospital KKM tanpa diwajibkan mengambil Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

“Selain itu perlu dibuat pindaan bagi memastikan pembayaran balik perjalanan dan kargo untuk semua pemindahan antara negeri bagi doktor kontrak yang ditawarkan jawatan tetap terutamanya dari Malaysia Barat ke Malaysia Timur dan sebaliknya. Kos yang ditanggung membabitkan pemindahan keluarga dan harta benda terutama ke kawasan luar bandar membebankan dan antara faktor mengapa ada yang menolak apabila dipindahkan dan meletak jawatan,” katanya.

Antara lain, MMA turut menggesa kerajaan memberi perhatian kepada Bayaran Insentif Wilayah (BIW) untuk doktor yang berkhidmat di wilayah selain daripada tempat asal mereka.

Katanya, peraturan baharu diperkenalkan di bawah skim gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu menyebabkan berlaku ‘ketidakadilan’ bagi kadar gaji doktor yang dipindahkan antara wilayah selepas 1 Disember 2024.

Ini katanya menyebabkan ramai doktor enggan berpindah ke Sabah dan Sarawak memandangkan ada yang dalam tahun perkhidmatan hampir sama tetapi menerima bayaran berbeza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top