Kuala Lumpur: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggariskan tujuh tekad utama bagi memastikan Malaysia kekal sebagai suara teguh dunia dalam memperjuangkan kebebasan Palestin, khususnya berhubung serangan berterusan ke atas Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Malaysia perlu terus lantang mengecam jenayah kemanusiaan termasuk pembunuhan kanak-kanak, wanita dan orang awam, serangan ke atas hospital serta sekolah, di samping menuntut perlindungan penuh terhadap institusi kemanusiaan di wilayah berkenaan.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri selagi jenayah ini berterusan. Kami mendukung dan menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus teguh dan berani mempertahankan Gaza dan Palestin sehingga mencapai kemerdekaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan “Deklarasi Sumud Dataran Merdeka Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza” sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Perdana Menteri turut hadir pada acara kemuncak karnival berkenaan dan menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk “Malaysiaku Bersama Gaza.”
© New Straits Times Press (M) Bhd