MAQIS Perak rampas 100kg ikan ketutu, kelah

MAQIS Perak rampas 100kg ikan ketutu, kelah

bhnews@bh.com.my

LUMUT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 100 kilogram (kg) ikan ketutu dan kelah yang dibawa masuk dari Indonesia di Pelabuhan Lumut, di sini, hari ini.

MAQIS Perak dalam satu kenyataan, berkata ikan dianggarkan bernilai RM10,000 itu ditemui hasil pemeriksaan sepasukan anggota jabatan itu ke atas peti ikan import.

“Pemeriksaan menemui satu peti seberat 100kg berisi 90kg ikan ketutu, manakala selebihnya ikan kelah tanpa permit import MAQIS.

“Semua ikan berkenaan dirampas untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kenyataan itu berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan jabatan berkenaan adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

“MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara dan berharap pihak pengimport sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

“Ia bagi memastikan keselamatan makanan negara terjamin dan terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top