bhnews@bh.com.my
BUTTERWORTH: Sebanyak 20 tan serbuk tanah liat yang dibawa masuk dari India dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang dalam operasi di Terminal Kontena Butterworth (NBCT), semalam.
Rampasan dibuat pada jam 4.30 petang selepas pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang membawa barangan berkenaan tidak mempunyai permit import sah.
Pengarah MAQIS negeri, Noriah Dahlan, berkata pihaknya membuat pemeriksaan rutin sebelum menemui kontena yang membawa serbuk tanah liat itu.
“Berikutan tidak mempunyai permit import yang sah lalu kita merampas sebanyak 800 beg (guni) 25 kilogram (kg) yang mengandungi serbuk tanah liat jenis Clay A1 yang diimport dari India bagi siasatan lanjut.
“Barang dagangan itu dianggarkan seberat 20,000kg dan bernilai kira-kira RM4,336.64,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, kegagalan mengemukakan dokumen permit import permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
© New Straits Times Press (M) Bhd