MAQIS Selangor serah daging kepada Penjara Penor

MAQIS Selangor serah daging  kepada Penjara Penor

bhnews@bh.com.my

PELABUHAN KLANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menyerahkan 34 karton daging kerbau sejuk beku yang dilucutkan hak kepada Penjara Penor, Pahang, di Pusat Siasatan Lanjutan (FIC), di sini semalam.

MAQIS Selangor dalam satu kenyataan berkata, penyerahan itu membabitkan kira-kira 680 kilogram daging kerbau sejuk beku dari India.

“Daging kerbau sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM11,710.37 yang tidak mematuhi prosedur pengimportan melalui Pelabuhan Klang Barat.

“Penyerahan produk membabitkan hasil rampasan sejak April lalu itu adalah untuk dijadikan sumber makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi banduan di penjara yang dibuat oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua serahan itu adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang melalui proses lucut hak mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

“Inisiatif ini diharap dapat membantu membekalkan sumber makanan kepada haiwan ternakan di penjara berkenaan.

“Pihak MAQIS sentiasa prihatin dalam membantu agensi yang memerlukan serta memastikan bekalan makanan haiwan yang diimport mencukupi.

“Pada masa sama, MAQIS akan terus memastikan isu membabitkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dikawal,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top