am@hmetro.com.my
Istanbul: Lebih ramai pelajar Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Turkiye tahun depan apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang menggandakan jumlah pengambilan pelajar tajaan agensi itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan akademik antara kedua-dua negara.
“Saya akan memastikan sekurang-kurangnya MARA menghantar dua kali ganda jumlah pelajar ke universiti sama tahun depan,” katanya ketika menghadiri majlis makan malam bersama pelajar Malaysia dan kakitangan Kedutaan Malaysia di Turkiye, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Kehormat Malaysia di Bursa, Turkiye Datuk Cevdet Sefer.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan lawatan kerja empat hari ke Turkiye bermula 5 hingga 8 November ini.
Dalam pada itu, Zahid berkata, kumpulan pertama pelajar berkenaan dijangka membuktikan kemampuan mereka sebagai antara yang terbaik dalam bidang masing-masing selepas menamatkan pengajian selama empat tahun.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan menghantar 17 pelajar berkenaan dibuat susulan perbincangan dengan kerajaan Turkiye yang bermula pada April lalu.
Beliau berkata, kumpulan pertama pelajar itu dihantar pada September lalu, susulan arahan Ahmad Zahid supaya inisiatif berkenaan dilaksanakan dalam tempoh singkat.
“Ini bukan pelajar biasa. Mereka adalah antara yang terbaik, dipilih daripada dua kolej persediaan MARA selepas menunjukkan pencapaian cemerlang sejak peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Ahmad Zahid menghadiri majlis makan malam itu bersama 17 pelajar tajaan MARA yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Sabanci.
Pelajar berkenaan mengikuti pengajian dalam bidang sains komputer dan kejuruteraan, kejuruteraan mekatronik, biologi molekul dan bio-kejuruteraan, sains data, kewangan, sains bahan serta kejuruteraan elektronik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




