MARA tidak terbabit penganjuran konvoi babit 15 pelajar KPTM, GMI

MARA tidak terbabit penganjuran konvoi babit 15 pelajar KPTM, GMI

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak terbabit dalam penganjuran konvoi membabitkan 15 penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi dan German-Malaysian Institute (GMI) Kajang yang terbabit kemalangan di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

MARA dalam kenyataan berkata, perancangan aktiviti konvoi berkenaan adalah inisiatif bersifat tidak rasmi yang dianjurkan secara santai oleh penuntut itu sendiri.

“MARA ingin menegaskan bahawa pihak kami sama sekali tidak terbabit dalam mana-mana bentuk penganjuran konvoi membabitkan penuntut berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, perancangan aktiviti konvoi itu adalah inisiatif bersifat tidak rasmi yang dianjurkan secara santai oleh penuntut sendiri melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp tanpa sebarang pembabitan rasmi daripada pihak institusi atau MARA,” katanya di sini, hari ini.

MARA memaklumkan pihaknya memandang serius berkenaan insiden kemalangan jalan raya yang membabit 15 penuntut daripada Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi dan seorang penuntut dari German-Malaysian Institute (GMI) Kajang.

Katanya, berdasarkan maklumat yang disahkan oleh pengurusan KPTM dan GMI setakat ini, insiden itu meragut nyawa tiga penuntut KPTM, manakala sembilan lagi penuntut dilaporkan mengalami kecederaan dan tiga lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Dalam kejadian sama, seorang penuntut dari GMI dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Proses bedah siasat bagi ketiga-tiga jenazah pelajar KPTM sudah diselesaikan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Jenazah Allahyarham Haris Azib Sulaiman dibawa ke Masjid Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang untuk urusan pengebumian.

“Jenazah Allahyarham Afkar Fitri Affendi dihantar ke Masjid Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka, manakala jenazah Allahyarham Aliff Syahmi Abdul Hakim dibawa pulang ke kediaman keluarga di Gombak, Selangor,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya menzahirkan duka cita yang mendalam atas tragedi berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.

Katanya, pihaknya juga komited sepenuhnya dalam memastikan kebajikan dan keperluan semua pelajar terbabit diberi perhatian sewajarnya, termasuk sokongan emosi dan psikososial kepada waris serta rakan penuntut.

“Sebagai langkah segera, MARA melalui pihak pengurusan KPTM menyalurkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,500 kepada waris setiap penuntut yang terkorban.

“Selain itu, tuntutan takaful kemalangan dan kematian berjumlah sehingga RM38,000 bagi setiap penuntut turut sedang diuruskan, tertakluk kepada syarat ditetapkan oleh pihak penyedia takaful,” katanya.

Katanya, semua pihak diseru memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional.

“MARA akan terus bekerjasama rapat dengan institusi pendidikan yang terbabit serta agensi berkaitan dalam memastikan tindakan susulan diambil secara bertanggungjawab, telus dan berperikemanusiaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top