am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang menunggu laporan penuh serta hasil siasatan komprehensif daripada pihak polis berhubung kes buli membabitkan enam pelajar sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab juga sedang digerakkan dengan segera bagi meneliti kes berkenaan, sementara menunggu keputusan rasmi daripada pihak berkuasa.
Beliau berkata, satu proses kawat cam membabitkan mangsa buli sudah dijalankan semalam bagi mengenal pasti kesemua suspek yang disyaki terbabit.
“Kita memang tengah menanti hasil siasatan penuh daripada pihak berkuasa, polis.
“Semalam (kelmarin) sudah diadakan kawat cam terhadap mereka yang disyaki dan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Pendidikan MARA 2026 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi menegaskan pihak pentadbiran bahagian Pendidikan MARA telah diarahkan untuk mengadakan mesyuarat jawatankuasa disiplin dengan kadar segera.
Enam pelajar terbabit juga berdepan tindakan tegas termasuk bakal disingkirkan daripada institusi berkenaan sekiranya didapati bersalah.
Mengulas lanjut mengenai pendirian MARA, Asyraf Wajdi menyatakan pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang isu luput disiplin, moral, atau gangguan melibatkan buli sama ada dalam bentuk fizikal, mental mahupun moral.
Katanya, falsafah asas pendidikan institusi itu adalah untuk melahirkan modal insan dan generasi pemimpin masa hadapan yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik dan kemahiran, malah mempunyai nilai jati diri serta akhlak yang tinggi.
“Falsafah pendidikan kita adalah sentiasa mahu membentuk pelajar yang holistik dan seimbang. Mereka bukan sahaja harus mempunyai kemahiran dan kompetensi tinggi, tetapi mesti mempunyai akhlak, jati diri dan akal budi yang tinggi.
“Sebab itulah kita tidak boleh kompromi dalam perbuatan-perbuatan buli, sama ada bersifat fizikal, moral mahupun mental,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebagai usaha memperkasakan kawalan disiplin dan mengurangkan beban tugas guru di asrama, MARA bakal menempatkan warden sepenuh masa yang dipilih daripada kalangan bekas tentera atau veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Inisiatif tersebut akan menyaksikan pelantikan empat orang warden sepenuh masa (dua lelaki dan dua perempuan) di setiap MRSM.
Fasa pertama program ini akan membabitkan 10 MRSM bermula esok, sebelum diperluaskan ke kesemua 58 MRSM di seluruh negara menjelang Januari tahun depan.
Pemilihan bekas tentera dibuat bersandarkan profil mereka yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi serta telah disaring rapi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang rekod negatif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




