mhafis@mediaprima.com.my
Shah Alam: Berang disaman, seorang penunggang motosikal yang gagal mengawal kemarahan bertindak membuat kecoh dan memaki hamun anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Walaupun cuba ditenangkan, lelaki itu terus mengamuk, malah turut menggelar anggota JPJ pencuri dan turut mencabar jika anggota berkenaan berani menahannya.
Bagaimanapun, keadaan kembali tenang selepas dia beredar dari kawasan terbabit.
Dia antara 148 pengguna kenderaan daripada 580 kenderaan yang diperiksa dalam operasi JPJ di Plaza Tol Kemuning, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), di sini, malam tadi.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, antara kesalahan paling tinggi dikesan pihaknya dalam operasi itu adalah tiada lesen memandu iaitu dengan 76 kompaun dikeluarkan.
Selain itu katanya, kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (51), tiada insurans kenderaan (49), dan tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL) (lapan).
“Nombor pendaftaran (diubah usai) (lapan), tiada nombor pendaftaran depan dan belakang (tujuh), tiada cermin pembalik (lima) dan kesalahan teknikal lain (10).
“(Menerusi) Ops kali ini, kami menyita lapan motosikal dan empat kereta di mana Notis Arah Periksa 13 dikeluarkan; dan lapan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan PG3 dikeluarkan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Menurutnya, kebanyakan pengguna kenderaan yang LKMnya mati memberikan alasan mereka lupa memperbaharui lesen kerana sibuk, sekali gus tidak mempunyai masa berbuat demikian.
“Setakat ini yang kami dapat kesan sebuah motosikal yang lesen LKM sudah tamat dua tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) Petaling yang menyertai operasi itu turut menahan tiga lelaki tempatan sekitar 30 hingga 40 tahun yang didapati positif methamphetamine.
© New Straits Times Press (M) Bhd