Marc perlu magis di lima pusingan terakhir

Marc perlu magis di lima pusingan terakhir

London: Alex Marquez percaya abangnya, Marc Marquez perlu menggunakan segala helah istimewa yang dimilikinya di tiga litar tertentu dalam baki lima pusingan terakhir musim MotoGP 2026.

Marc kini ketinggalan hanya dua mata di belakang Jorge Martin selepas Grand Prix (GP) Indonesia hujung minggu lalu, iaitu jurang sama ketika saingan memasuki pusingan ke-17 musim ini.

Litar Mandalika terus menjadi cabaran buat Marc dan Ducati, namun dia berjaya meraih kemenangan dalam perlumbaan pecut serta mengehadkan kerugian dengan menamatkan perlumbaan utama di tempat keenam. Martin pula menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat keempat dan ketiga.

Hujung minggu itu dianggap penting dalam usaha Marc memburu gelaran dunia. Kini, dia memasuki lima pusingan terakhir dengan kedudukan yang cukup baik untuk terus memberi tekanan kepada pelumba Aprilia, Martin.

Daripada lima litar yang masih berbaki, Portimao menjadi satu-satunya litar yang belum pernah dimenangi Marc. Phillip Island, Sepang, Lusail dan Ricardo Tormo di Valencia pula pernah memberikan keputusan positif buat pelumba Sepanyol itu.

Alex melihat abangnya berjaya melepasi cabaran di Indonesia dengan masih mampu bersaing, namun mengakui jentera Aprilia bakal menjadi ancaman di Australia, Qatar dan Portugal.

“Dia berjaya menyelamatkan keadaan, tanpa sebarang keraguan.

“Saya tidak akan menganggapnya sebagai kemenangan, tetapi dia berjaya melepasi litar yang sukar buatnya. Keputusannya ibarat seri, masing-masing mengutip 22 mata antara Marc dan Martin.

“Pertarungan gelaran akan terus terbuka, walaupun kami kini bakal beraksi di litar seperti Australia, Qatar dan Portimao, terutama kerana Aprilia mampu tampil sangat baik di sana.

“Marc perlu mengeluarkan segala helah istimewanya,” kata Alex.

Selepas GP Indonesia, isu arahan pasukan turut dibangkitkan dalam konteks peluang Aprilia memburu gelaran dunia.

Aprilia mempunyai dua pelumba dalam kelompok tiga teratas kedudukan kejuaraan namun Marco Bezzecchi ketinggalan 46 mata di belakang Martin dengan hanya lima pusingan berbaki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top