MARDI mohon peruntukan RM400 juta untuk penyelidikan

MARDI mohon peruntukan RM400 juta untuk penyelidikan

SERDANG – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memohon kepada kerajaan peruntukan sekurang-kurangnya RM400 juta bagi menjalankan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk menjayakan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Zabawi Abdul Ghani berkata, untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), pihaknya hanya menerima sebanyak RM200 juta untuk kegunaan lima tahun dan jumlah itu wajar ditingkatkan.

“(Jumlah) ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan peruntukan untuk menjalankan (R&D). Sama juga mungkin RMK-13, kita minta lebih lagi tapi terpulanglah penilaian pusat untuk memberi peruntukan kepada kita,” katanya ketika ditemui selepas penutupan Majlis ShowTech 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Mohammad Zabawi berkata, kaedah yang diguna pakai di negara ini bagi mendapatkan peruntukan adalah dengan membuat permohonan dan bajet yang dikeluarkan perlu digunakan untuk tempoh lima tahun.

Katanya, permohonan dibuat menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan anggaran untuk tempoh lima tahun ini adalah sebanyak RM200 juta.

Ditanya mengenai hasil kutipan yang diperoleh menerusi hasil jualan sepanjang tiga hari penganjuran program berkenaan Mohammad Zabawi memberitahu, pihaknya menjangkakan hasil kutipan mencecah lebih kurang RM2.7 juta sehari setakat tengah hari ini.

Ujarnya, jumlah kehadiran turut mencecah 292, 000 setakat tengah hari tadi.

“Insya-Allah kita jangkakan mungkin akan mencapai lebih 300,000 pengunjung keseluruhan. Kita lihat bagaimana. Kalau kita tidak buat setiap tahun, kita buat dua tahun sekali, kita selang seli dengan MAHA. Dekat situ tidak terputus informasi-informasi kepada usahawan-usahawan,” tambahnya.

Program tersebut mampu menjadi projek tahunan namun semua itu memerlukan sokongan daripada orang ramai untuk datang berkunjung menyaksikan program tersebut.

“Kita tengok keadaan. Kadang-kadang tengok kepada bajet yang kita ada. Sudah tentu lebih baik kita sentiasa beredar dari satu tempat ke satu tempat,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top