London: Enzo Maresca membandingkan pemain yang menjadi tumpuan Chelsea, Cole Palmer, dengan bekas bintang Stamford Bridge, Gianfranco Zola, selepas pemain tengah England itu menjaringkan gol kemenangan ketika tuan rumah mengalahkan Newcastle 2-1.
Zola, 58, turut hadir dalam kalangan penonton untuk menyaksikan pengganti beliau yang berusia 22 tahun memakai jersi No. 10 The Blues.
Palmer mempamerkan persembahan mengagumkan yang ditutup dengan gol kedua pada separuh masa kedua, membawa Chelsea hampir ke posisi empat teratas.
Palmer kini menjaringkan 19 gol dalam 15 penampilan liga di laman sendiri.
Palmer berkata, dia hanya mengenali pemain tengah Itali itu melalui permainan video.
“Saya rasa Cole tidak tahu siapa Gianfranco,” kata pengurus Chelsea, Maresca.
“Mereka agak serupa dari segi kualiti dan cara melihat perkara yang tidak dilihat oleh orang lain.
“Perkara terbaik mengenai Cole adalah dia tidak pernah berubah. Saya pernah mengendalikannya di (Manchester) City (dalam pasukan Bawah-23) dan dia masih sama.
“Orang datang ke stadium untuk melihat pemain seperti dia. Mereka membayar untuk melihat jenis pemain itu.”
Chelsea memulakan perlawanan selepas hanya meraih satu kemenangan di laman sendiri dalam liga musim ini dan mereka dalam perjalanan untuk mengekalkan rekod tidak diingini itu apabila Alexander Isak menyamakan kedudukan untuk Newcastle selepas Nicolas Jackson memberi Blues pendahuluan awal.
Namun, baru dua minit memasuki separuh masa kedua, Palmer membuat Newcastle tersentak selepas mereka memberi ruang kepada pemain itu merembat bola menewaskan Nick Pope.
Walaupun gembira dengan keputusan, Maresca menegaskan keinginannya untuk melihat lebih banyak kepimpinan daripada kapten Blues, Reece James.
© New Straits Times Press (M) Bhd




