Maresca gesa Chelsea segera bawa masuk pertahanan tengah baharuu

Maresca gesa Chelsea segera bawa masuk pertahanan tengah baharuu

London: Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca mahu kelabnya segera mendapatkan bek tengah baharu bagi menampung ketiadaan Levi Colwill yang cedera teruk.

Colwill yang juga pertahanan England itu dijangka terlepas hampir seluruh musim baharu selepas mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) ketika sesi latihan.

Tosin Adarabioyo dan Trevoh Chalobah dijangka bergandingan di benteng tengah ketika The Blues menentang Crystal Palace dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, Ahad ini.

Namun, Maresca mengakui sukar mencari pengganti Colwill daripada skuad sedia ada dan Chelsea kini dikaitkan dengan pertahanan Benfica, Antonio Silva.

“Semua tahu betapa pentingnya Colwill musim lalu, terutamanya dengan cara kami membina permainan. Dia sebahagian besar daripada sistem itu, dan kini dia tiada,” kata Maresca.

“Kami cuba cari penyelesaian dalaman, tapi kelab tahu apa yang saya fikir. Kita tengok apa yang berlaku nanti. Saya rasa kami perlukan bek tengah baharu,” katanya.

Pengendali Itali itu turut mengingatkan bahawa jendela perpindahan masih terbuka dan segala kemungkinan boleh berlaku.

Sementara itu, pengurus Liverpool, Arne Slot, menyifatkan Chelsea sebagai pencabar kejuaraan musim ini, malah percaya The Blues mampu menewaskan pasukannya dalam perebutan trofi EPL.

Bagaimanapun, Maresca enggan melayan ‘perang psikologi’ itu.

“Saya tak peduli apa orang lain kata tentang kami. Lebih baik fokus pada pemain dan cuba perbaiki pasukan. Mereka boleh kata apa saja yang mereka mahu,” tegasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top