Maresca 'sangat gembira' walaupun Chelsea gagal rampas takhta liga

Maresca 'sangat gembira' walaupun Chelsea gagal rampas takhta liga

Liverpool: Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, menegaskan beliau ‘sangat gembira’ meskipun pasukannya kehilangan peluang untuk memintas Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris selepas terikat tanpa jaringan menentang Everton di Goodison Park.

The Blues berpeluang menduduki tempat teratas liga jika menang sebelum Liverpool memulakan aksi menentang Tottenham Hotspur.

Namun, keputusan seri itu memadamkan rekod lapan kemenangan berturut-turut Chelsea dan menyaksikan mereka gagal menjaringkan gol buat kali pertama sejak Oktober.

Dengan Liverpool membelasah Spurs 6-3 dalam perlawanan dramatik di London Utara, Chelsea menamatkan hari di tangga kedua, empat mata di belakang The Reds, yang juga mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Maresca – yang bercakap sebelum kemenangan Liverpool disahkan – berkata: “Saya sangat gembira. Saya baru sahaja memberitahu pemain bahawa saya lebih gembira hari ini berbanding selepas perlawanan Brentford (menang 2-1 minggu lalu).

“Sebabnya, saya agak bimbang mengenai perlawanan ini: perlawanan yang sukar, di stadium yang sukar, pasukan yang sukar.”

Beliau menambah: “Secara bertahan, Everton adalah antara yang terbaik, salah satu daripada lima pasukan terbaik di Eropah dari segi rekod tanpa bolos, jadi memang sukar mencipta peluang menentang mereka.

“Ini bukan perlawanan yang mudah dan anda perlu belajar bagaimana bermain dalam pelbagai jenis perlawanan. Bola sepak bukan sahaja mengenai bagaimana anda bermain dengan bola, tetapi juga bagaimana anda bertahan dan mengurus situasi seperti itu.”

Bagi Everton, ini adalah aksi pertama sejak Friedkin Group (TFG) menyelesaikan pengambilalihan kelab itu, dengan pengerusi eksekutif baharu, Marc Watts, hadir di Goodison Park.

Ia juga perlawanan tanpa jaringan kedua berturut-turut untuk pasukan kendalian Sean Dyche, selepas seri 0-0 menentang Arsenal minggu lalu.

Namun, Dyche, yang kontraknya akan tamat hujung musim ini, sedar hanya kemenangan yang mampu menarik perhatian pemilik baharu dari Amerika Syarikat.

Everton kini hanya mencatat tiga kemenangan daripada 16 perlawanan liga musim ini, dengan The Toffees berada empat mata di atas zon penyingkiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top