London: Enzo Maresca menegaskan Chelsea dibenarkan keluar daripada taktikal tradisi mereka jika diperlukan untuk memenangi perlawanan penting derby London menentang Arsenal tengah malam Isnin ini.
Skuad kendalian Maresca menerima ejekan daripada penyokong yang kecewa selepas kemenangan hambar 1-0 ke atas Leicester City di Stamford Bridge hujung minggu lalu.
Rasa tidak puas hati penyokong semakin jelas ketika kemenangan 1-0 ke atas Copenhagen dalam aksi timbal balik pusingan 16 Liga Konferens UEFA, awal pagi tadi.
Gaya permainan Chelsea yang lebih gemar mengawal bola dan memperlahankan tempo, walaupun mempunyai peluang untuk menyerang pertahanan Leicester yang rapuh, mencetuskan kritikan terhadap taktikal Maresca.
Sebelum ini, Maresca berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak teragak-agak menggantikan pemain yang gagal mematuhi falsafah permainannya.
Namun, menjelang perlawanan penting antara Chelsea di tangga keempat menentang Arsenal yang berada di kedudukan kedua, jurulatih dari Itali itu mengakui pasukannya mungkin perlu lebih fleksibel.
“Niat kami tetap sama (untuk mengawal bola). Sama ada kami mampu melakukannya atau tidak bergantung kepada lawan,” katanya.
“Saya baru diberitahu bahawa Pedro Neto melakukan larian pecut pada minit ke-90 ketika menentang Copenhagen. Ini kerana kami bertahan di tepi kotak penalti sendiri.
“Jadi, jika kami merancang untuk duduk bertahan menentang Arsenal, pasti penyerang dan pemain sayap kami perlu melakukan 20 larian pecut selama 60 hingga 70 minit.
“Namun, apabila anda bermain di kawasan lawan sepanjang perlawanan, ruang untuk larian seperti itu tidak banyak.
“Perancangan kami tetap untuk mengawal permainan, tetapi Arsenal adalah pasukan yang akan memberikan tekanan tinggi dan bermain agresif. Mungkin kami akan mendapat lebih banyak ruang untuk menyerang dari belakang,” kata Maresca.
Maresca turut mendedahkan penjaga gol yang kerap melakukan kesilapan, Robert Sanchez, bakal diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Arsenal selepas kembali beraksi ketika menang ke atas Leicester.
© New Straits Times Press (M) Bhd