Maresca tak mahu terjebak perang bidaan Isak

Maresca tak mahu terjebak perang bidaan Isak

LONDON: Chelsea dan Manchester United sudah menarik diri daripada memburu penyerang Newcastle United, Alexander Isak yang tidak dibawa menyertai jelajah pramusim kelab ke Timur Jauh selepas menyatakan hasrat untuk mencari cabaran baharu.

Chelsea, juara dunia kelab semasa, sebelum ini dikaitkan dengan Isak selepas Mail Sport mendedahkan penyerang Sweden itu terbuka untuk berpindah.

Namun begitu, pengurusan The Blues dikatakan berpuas hati dengan barisan serangan sedia ada, yang terdiri daripada Liam Delap, Nicolas Jackson serta Joao Pedro sebagai pilihan tambahan di bahagian hadapan.

Difahamkan, Chelsea mengesyaki nama mereka sekadar digunakan untuk menaikkan nilai pasaran pemain berusia 25 tahun itu, yang dikatakan bernilai sekitar £150 juta (RM853 juta).

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca lebih cenderung menggunakan sistem penggiliran musim depan khususnya untuk mengurus beban perlawanan selepas kempen panjang musim lalu dan tidak selesa apabila nama kelabnya dikaitkan dengan pemain yang mereka tidak benar-benar sasarkan hanya untuk mencetuskan perang bidaan.

Sebaliknya, Chelsea kini memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan bintang muda Xavi Simons dari RB Leipzig dan Jorrel Hato dari Ajax, sambil menyedari keperluan untuk mempercepatkan proses menjual pemain sedia ada.

Jackson dijangka kekal di Stamford Bridge melainkan terdapat tawaran besar yang sukar ditolak oleh kelab mahupun pemain.

Penyerang itu turut dikaitkan dengan Manchester United namun Chelsea masih melihatnya sebagai aset bernilai £100 juta (RM569 juta).

Jackson sendiri bersedia untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama, selepas Delap dan Pedro mempamerkan prestasi meyakinkan pada kejohanan Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat.

Bagi Manchester United pula, mereka menolak kemungkinan untuk mendapatkan Isak atau beberapa penyerang bernilai tinggi lain termasuk Jackson dan Benjamin Sesko.

Dengan nilai Isak dikatakan mencecah £150 juta, United tidak mampu bersaing terutamanya selepas berbelanja lebih £130 juta (RM740 juta) musim panas ini untuk membawa masuk Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha, meskipun mereka masih berhasrat menambah seorang penyerang tengah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top