London: Enzo Maresca berkata, tiada sebab untuk panik selepas kemerosotan kecil Chelsea sambil menekankan kesan daripada beberapa siri kad merah ketika beliau bersiap sedia menyambut kepulangan Jose Mourinho ke Stamford Bridge.
The Blues yang akan menentang Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Rabu, memulakan musim dengan baik selepas menjuarai Piala Dunia Kelab pada Julai.
Namun, mereka kini tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dan amat memerlukan kemenangan menentang pasukan Portugal itu di Stamford Bridge bagi menghidupkan kembali kempen di Eropah.
Maresca sedar Chelsea perlu mengatasi masalah disiplin selepas pasukannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam kekalahan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United dan Brighton.
Mereka turut tewas dalam perlawanan pembukaan UCL menentang Bayern Munich.
Namun Maresca, yang berada di musim keduanya di Stamford Bridge, kelihatan tenang mengenai prestasi buruk itu ketika sidang media pra-perlawanan.
Jurulatih dari Itali itu menegaskan dalam empat daripada lima kekalahan terakhir, Chelsea kehilangan seorang pemain akibat dibuang padang.
Maresca mengakui beliau boleh membuat keputusan lebih baik untuk menghadapi situasi pemain dibuang padang menentang United dan Brighton.
Namun, katanya, satu-satunya perlawanan yang pasukannya tewas dengan 11 pemain di padang ialah kekalahan 1-3 kepada juara Jerman, Bayern, awal bulan ini.
“Bagi saya secara peribadi, tiada sebarang alasan untuk kita mencetuskan panik kerana anda lebih tahu daripada saya, bola sepak ialah dunia yang gila,” katanya.
“Jika anda tewas lima perlawanan dalam tempoh enam bulan dan anda perlu berkata sesuatu untuk mempertahankan diri, itu bermakna ia dunia yang gila.
“Saya tidak fikir kita perlu mempertahankan diri ketika ini kerana hakikatnya saya mempunyai perasaan sangat baik terhadap skuad yang ada.”
Maresca berkata, adalah satu penghormatan mutlak untuk berdepan Mourinho di Stamford Bridge.
Jurulatih Portugal berusia 62 tahun itu dinamakan sebagai pengendali baharu Benfica awal bulan ini, hanya beberapa minggu selepas dipecat oleh kelab Turki, Fenerbahce.
Mourinho memenangi tiga kejuaraan EPL dan beberapa piala lain sepanjang dua tempoh bersama Chelsea, membantu mengubah kelab itu menjadi pasukan pemburu trofi.
Moises Caicedo, Andrey Santos dan Joao Pedro mengalami kecederaan kecil ketika kekalahan kepada Brighton pada Sabtu lalu dan akan dinilai sebelum perlawanan menentang Benfica.
© New Straits Times Press (M) Bhd




