Marina umum tidak pertahan kerusi DUN Skudai, undur diri daripada politik

Marina umum tidak pertahan kerusi DUN Skudai, undur diri daripada politik

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi yang disandangnya itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang dan berundur daripada arena politik.

Beliau berkata, keputusan tersebut diambil selepas perbincangan bersama individu yang rapat dengannya.

“Dengan penuh rendah diri, saya, Marina Ibrahim, telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dan berundur daripada arena politik.

“Keputusan ini diambil selepas perbincangan bersama insan-insan yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.

“Kini, saya memilih untuk kembali kepada sesuatu yang amat dekat di hati saya sejak dahulu lagi, iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sebelum melangkah ke dunia politik,” tulis beliau di Facebook pada Ahad.

Menerusi hantaran tersebut, beliau memuat naik foto yang dipercayai dirakam di Pusat Khidmat DUN Skudai bersama kakitangannya.

Menurut Marina, beliau cuba memberikan khidmat yang terbaik di DUN Skudai sejak menjadi wakil rakyat empat tahun lalu.

“Empat tahun yang lalu, saya datang ke Skudai dengan satu harapan yang sederhana tetapi besar maknanya, iaitu untuk berkhidmat.

“Saya hadir bukan dengan kekuatan yang besar, bukan juga dengan pasukan yang lengkap. Namun, saya hadir dengan niat yang ikhlas dan keyakinan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Marina berkata, sepanjang tempoh tersebut, beliau telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada masyarakat.

“Jika terdapat kekurangan, kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf.

“Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan. Walaupun saya datang ke Skudai bersendirian, saya tidak pernah berjalan seorang diri.

“Mereka hadir daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama, namun perbezaan itu tidak pernah menjadi jurang. Sebaliknya, ia menyatukan kami dalam sebuah ikatan kekeluargaan yang dibina atas dasar kepercayaan, kasih sayang dan keinginan untuk berbuat baik kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan peluang sepanjang menjadi ADUN Skudai.

“Terima kasih kepada setiap individu yang memberi sokongan pada 22 Mac 2022. Terima kasih kepada pasukan saya yang tidak pernah jemu berdiri bersama dalam saat mudah mahupun sukar.

“Segala pengorbanan, kesetiaan dan persahabatan yang diberikan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya,” katanya.

Scroll to Top