Maritim Malaysia tahan 20 nelayan Vietnam

Maritim Malaysia tahan 20 nelayan Vietnam

bhnews@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 20 nelayan Vietnam dan merampas ikan, bot serta peralatan menangkap ikan bernilai RM1.5 juta.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata bot terbabit ditahan ketika menangkap ikan secara haram pada kedudukan 120 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, jam 6 petang kelmarin.

Bot terbabit ditahan Kapal Maritim (KM) Pekan yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut di kawasan berkenaan.

“Bagi mengelak ditahan, nelayan terbabit membuang tali tambatan ke laut dalam usaha menghalang kapal Maritim menghampiri bot mereka.

“Mereka membuang tali ke laut dengan harapan tali berkenaan tersangkut pada kipas kapal Maritim. Tindakan itu taktik baharu digunakan nelayan Vietnam ketika melarikan diri selepas dikesan menceroboh perairan negeri ini,” katanya hari ini.

Pemeriksaan mendapati bot terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu serta melanggar syarat lesen iaitu tiada permit kerja dan melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran. Semua kru termasuk tekong berusia antara 21 hingga 52 tahun turut ditahan kerana tiada dokumen dan permit kerja.

“Kami merampas hasil tangkapan laut membabitkan ikan baja dan ikan campur-campur sebanyak dua tan, 3,000 liter bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta.

“Bot serta kru dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top