am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sebuah kapal tangki dan bot pancung ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini, semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan kapal tangki dilakukan pada jam 12.30 tengah malam hasil pemantauan radar Area Control Centre (ACC) Klang.
“Bot peronda kami kemudian digerakkan ke lokasi sejauh 18.9 batu nautika barat daya Kuala Sungai Besar.
“Setibanya di lokasi, didapati kapal dikendalikan seorang kapten warga China bersama 21 kru terdiri daripada 11 warga China, lapan Myanmar dan dua Bangladesh yang masing-masing berusia antara 24 hingga 52 tahun.
“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun kapten gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, kapal tangki itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan perintah penahanan kemudian dikeluarkan.
Katanya, kapten bersama pegawai jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.
Dalam operasi kedua, Abdul Muhaimin memaklumkan pihaknya menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran pada jam 5.10 petang di kedudukan 1.55 batu nautika barat Kapar.
Jelas beliau, penahanan dibuat susulan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun dan gagal mengemukakan lesen atau dokumen kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan.
“Bot dan individu itu kemudian diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
© New Straits Times Press (M) Bhd




