Mark Adam bukan anak emas SRC

Mark Adam bukan anak emas SRC

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Mark Adam, 47, tidak mahu dirinya dikaitkan sebagai ‘anak emas’ termasuk dianggap aset berharga Suria Records (SRC) berbanding artis lain yang turut sama bernaung di syarikat itu.

Mark berkata, dia selesa dilayan dan dihormati sebagai artis senior berbanding kebanyakan bakat muda lain.

“Bukanlah. Saya bukan anak emas atau aset utama SRC. Semua artis yang ada kontrak dengan syarikat adalah ‘anak emas’ dan bukannya saya seorang. Pada saya, kami semua sama rata.

“Artis baru SRC yang ada sekarang ini sangat berbakat. Saya melihat mereka ada masa depan untuk berjaya dan masing-masing ada peluang.

“Saya boleh bantu mereka seperti mengajar vokal, cipta lagu sama-sama, main alat muzik dan sebagainya. Saya sentiasa okay untuk bekerjasama dengan mereka semua,” katanya.

Menurut Mark, apa yang diperolehnya sekarang sebagai penggiat seni dikenali adalah berbekalkan kepercayaan dan tanggungjawab itu perlu digalas sebaik mungkin.

Ditanya keputusannya kembali mengikat kontrak dengan syarikat rakaman selepas bergerak sendiri, Mark berkata, penyanyi sebenarnya perlu bersama syarikat rakaman bagi membantu melancarkan kerjaya mereka.

“Penyanyi kena bersama syarikat rakaman untuk bantu melancarkan lagu dan mempromosikannya termasuk untuk pengedaran. Apatah lagi, sekarang ini pengaruh media sosial yang perlukan kita kemas kini selalu.

“Walaupun saya boleh buatnya sendiri, tapi kita tetap tidak boleh nak buat semua kerja. Saya pun ada pelbagai aktiviti yang dilakukan seperti berniaga, berlakon dan lain-lain lagi,” katanya.

Mark berkata, dia mengikat kontrak selama tiga tahun bersama SRC sejak pertengahan tahun lalu selepas memikirkan mahu aktif semula dalam nyanyian berikutan kebanyakan peminat lebih melihatnya sebagai pelakon.

Terdahulu, Mark yang berasal dari Cebu, Filipina berhijrah ke Malaysia pada 2001 untuk melebarkan kerjaya nyanyiannya. Namun, dia bertemu jodoh dengan isterinya, Nor Azah Redzuan pada 2003 selepas memeluk Islam.

Kini, Mark sudah 17 tahun memegang status penduduk tetap di Malaysia dan pada masa sama, dia juga enggan melucutkan kewarganegaran asalnya sebagai rakyat Filipina walaupun sudah 24 tahun menetap di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top