'Markas' judi dalam talian diserbu, 147 diberkas

'Markas' judi dalam talian diserbu, 147 diberkas

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 147 individu termasuk tujuh warga asing ditahan dalam serbuan serentak ke atas tujuh premis di sekitar Damansara dan Subang Jaya, di sini, 9 Oktober lalu.

Premis berkenaan dipercayai menjadi pusat membangunkan platform perjudian dalam talian serta membekal mesin dan alat ganti slot untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, operasi khas itu dijalankan oleh Bahagian Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Bukit Aman di tujuh premis pejabat dan gudang di lokasi berasingan bermula jam 2 petang.

Katanya, daripada jumlah tangkapan, 140 rakyat tempatan terdiri daripada 110 lelaki dan 30 wanita, manakala tujuh warga asing (enam lelaki, seorang wanita) berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun turut diberkas.

“Dalam serbuan itu, polis merampas perkakasan dan peralatan yang digunakan untuk membangunkan platform perjudian dalam talian, mesin slot dan alat ganti mesin slot perjudian.

“Antaranya sebanyak 139 komputer riba, (182) telefon bimbit, (126) monitor, (84) kad akses, (28) komponen elektronik, (13) dokumen kerja, (9) komputer peribadi, (enam) router, masing-masing lima mesin slot dan peranti kawalan; masing-masing empat peranti visual dan audio serta moden dan masing-masing dua lesen perniagaan serta papan sesentuh elektronik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga kertas siasatan dibuka oleh Bahagian JSJ Petaling Jaya dengan dikawal selia oleh Bahagian D7 Bukit Aman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4b(a) / 4b(b) dan 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua premis yang diserbu tidak memiliki kebenaran yang sah dari mana-mana pihak termasuk Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk menjalankan aktiviti menyediakan perkhidmatan membekal mesin judi, alat ganti mesin judi dan membangunkan platform perjudian dalam talian serta mempromosi perjudian.

“Ketiga-tiga kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dan bersetuju untuk menuduh seramai (133) orang atas kesalahan mempromosi perjudian di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yanh dibaca bersama Seksyen 120b Kanun Keseksaan di atas kesalahan pakat jahat jenayah.

“Tujuh warganegara asing turut dituduh atas kesalahan melanggar syarat pas atau permit yang disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurutnya, kesalahan mempromosikan aktiviti perjudian terbabit boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,0000 dan tempoh pemenjaraan tidak melebihi tiga tahun dan sebagai tambahan boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 bagi tiap-tiap mesin judi yang disita.

Katanya, kesalahan pakat jahat jenayah pula, boleh membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kesalahan melanggar syarat pas atau permit, di bawah Seksyen 39b Akta Imigresen 1959/63 boleh membawa hukuman denda tidak melebihi rm1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Kumar berkata, PDRM juga sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan lain di bawah undang-undang sedia ada contohnya seperti peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top