Marquez akhiri musim lebih awal

Marquez akhiri musim lebih awal

Rom: Juara dunia baharu MotoGP 2025, Marc Marquez, terpaksa menamatkan musim lebih awal selepas mengalami kecederaan tulang selangka ketika beraksi di Grand Prix (GP) Indonesia awal bulan ini, umum pasukannya, Ducati.

Pelumba Sepanyol berusia 32 tahun itu cedera susulan perlanggaran dengan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, pada pusingan pembukaan perlumbaan di Litar Mandalika, hanya seminggu selepas menamatkan kemarau dengan menjulang gelaran dunia ketujuh kelas perdana di GP Jepun.

Marquez pada awalnya dijangka kembali bersaing untuk dua pusingan terakhir musim ini di Portugal dan Valencia, namun Ducati mengesahkan pelumba sensasi itu perlu menjalani tempoh rehat penuh selama empat minggu sebelum memulakan proses pemulihan.

“Selepas menilai keseluruhan situasi, kami percaya tindakan paling tepat dan bijak adalah menghormati tempoh penyembuhan semula jadi, walaupun ia bermakna saya tidak dapat berlumba lagi musim ini,” kata Marquez.

“Kami tahu musim sejuk nanti bakal mencabar dengan banyak kerja untuk memastikan otot saya pulih sepenuhnya dan bersedia bagi musim 2026.

“Namun, ia tidak akan menenggelamkan kejayaan besar yang kami capai tahun ini, menjuarai dunia sekali lagi, dan kami akan meraikannya bersama tidak lama lagi.”

Ducati sebelum ini menurunkan pelumba ujian, Michele Pirro, menggantikan Marquez di GP Australia, namun masih belum memutuskan sama ada dia akan terus mengisi tempat itu untuk dua pusingan terakhir musim ini.

Walaupun tidak lagi beraksi, Marquez kekal mendahului kejuaraan dengan kelebihan 166 mata mengatasi adiknya, Alex Marquez (Gresini Racing), yang kini bersaing untuk tempat kedua, manakala Bezzecchi melonjak ke tangga ketiga, 97 mata di belakang Alex.

Musim MotoGP 2025 akan berakhir pada 16 November di Valencia, dengan Ducati turut mengesahkan Marquez bakal terlepas ujian pasca musim di Cheste.

“Ia satu kehilangan besar kerana amat penting bagi kami melihatnya di atas trek,” kata Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna.

“Namun kami tahu keutamaan utama kini adalah memastikan Marquez pulih sepenuhnya untuk kembali 100 peratus bersedia musim depan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top