Marquez beri amaran awal

Marquez beri amaran awal

Goiania, Brazil: Juara dunia, Marc Marquez memanfaatkan kesilapan lewat Fabio Di Giannantonio sebelum mempertahankan kedudukan pada pusingan terakhir untuk memenangi perlumbaan pecut MotoGP yang penuh dramatik di Brazil, semalam.

Aksi yang menandakan kepulangan MotoGP ke Brazil selepas 22 tahun itu berlangsung dalam keadaan kelam-kabut susulan cuaca buruk, dengan sesi latihan Jumaat terjejas akibat lumpur di litar selepas hujan lebat berpanjangan.

Situasi berterusan pada Sabtu apabila satu lubang muncul di laluan lurus utama, memaksa kerja pembaikan segera dilakukan sebelum perlumbaan dimulakan lewat 80 minit.

Sebaik perlumbaan bermula, Di Giannantonio yang menunggang jentera VR46 Racing Team memecut dari petak pertama, namun hanya Marquez bersama pasukan Ducati Lenovo Team mampu memberi cabaran.

Dengan dua pusingan berbaki, pelumba Itali itu melakukan kesilapan kecil yang membuka ruang kepada Marquez untuk memintas dan mendahului perlumbaan.

Di Giannantonio cuba bangkit pada pusingan terakhir, namun Marquez bijak menutup setiap ruang untuk memastikan kemenangan.

“Kemenangan ini amat penting kerana saya bergelut di Thailand. Saya masih belum menunggang seperti yang saya mahukan, tetapi saya akan terus berusaha,” kata Marquez.

Pelumba Sepanyol itu turut menjangkakan cabaran sengit sekali lagi daripada Di Giannantonio pada perlumbaan utama awal pagi ini.

Sementara itu, Di Giannantonio mengakui kesilapannya menjadi punca kegagalan meraih kemenangan sulung dalam perlumbaan pecut.

“Keadaan litar berbeza berbanding sesi pagi. Di beberapa selekoh, cengkaman kurang baik. Saya melakukan dua kesilapan di selekoh sama dan ia menjejaskan perlumbaan saya,” katanya.

Namun, beliau tetap berpuas hati dengan kedudukan kedua dan berazam bangkit semula.

“Saya tetap gembira. Kedudukan kedua dan sangat hampir dengan Marc. Kami akan cuba lagi esok,” katanya.

Tempat ketiga menjadi milik Jorge Martin yang jelas teruja selepas melalui musim sukar dipenuhi kecederaan bersama pasukan Aprilia Racing.

“Saya sangat gembira. Ia perjalanan yang sukar,” katanya sambil meraikan kejayaan bersama penyokong tuan rumah.

Dalam kedudukan kejuaraan, Pedro Acosta kekal mendahului selepas menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, dua mata di hadapan Marco Bezzecchi yang menduduki tempat keempat.

Martin kini naik ke tangga ketiga keseluruhan, manakala Marquez melonjak ke kedudukan keenam dengan ketinggalan 12 mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top