Buriram, Thailand: Juara dunia enam kali, Marc Marquez, meraih kemenangan dalam perlumbaan pecut di MotoGP Thailand yang membuka tirai musim ini, menjadikannya penampilan yang sempurna bersama pasukan Ducati.
Pelumba dari Sepanyol itu bermula dari petak depan di hadapan adik lelakinya, Alex dan terus memecut laju untuk meraih kemenangan dalam perlumbaan 13 pusingan itu.
Tempat kedua di Buriram di litar yang panas terik diraih oleh adik lelakinya Alex, manakala rakan sepasukan Marc Marquez dari Ducati yang juga juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia, menduduki tempat ketiga.
Pelumba muda Jepun, Ai Ogura, berada di tempat keempat dalam penampilan pertamanya di MotoGP.
Grand Prix yang pertama daripada 22 dalam musim ini, akan berlangsung esok dan Marquez akan menjadi calon pilihan apabila bermula dari petak depan.
“Ia adalah hari Sabtu yang sempurna,” kata Marquez yang berusia 32 tahun selepas meraih kemenangan pecut kedua dalam kariernya.
“Rasanya sangat bagus dengan motosikal. Gembira memulakan perjalanan baru saya dengan Ducati dengan cara ini.”
“Kita akan lihat jika kita boleh sekurang-kurangnya berada di podium esok, tetapi jika boleh, kita akan berjuang untuk kemenangan,” katanya.
Marquez sudah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang minggu, mencatatkan masa terpantas dalam permulaan sesi latihan sebelum dipintas oleh adik Alex ketika sesi petang.
Marquez menikmati pramusim yang hebat bersama Ducati selepas berhijrah dari Honda, dan sangat digemari untuk memenangi gelaran dunia pertama sejak 2019.
Marquez dan Bagnaia dipuji sebagai pasukan impian, namun beberapa pemerhati memberi amaran bahawa gabungan dua pelumba laju dan berprofil tinggi ini mungkin terlalu berbahaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

