Alcaniz: Marc Marquez sekali lagi membuktikan dirinya ‘raja’ sebenar di Litar MotorLand Aragon apabila merangkul kemenangan bergaya pada Grand Prix (GP) Aragon, sekali gus melebarkan cengkaman dalam perebutan kejuaraan dunia MotoGP musim ini.
Menunggang jentera Ducati, Marquez memulakan perlumbaan dari petak utama dan mengungguli saingan hingga ke garisan penamat untuk merangkul kemenangan ketujuh di litar kegemarannya itu, pencapaian paling banyak oleh mana-mana pelumba di Aragon.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas memenangi perlumbaan pecut dan mendominasi kesemua sesi, termasuk latihan bebas, kelayakan dan pemanas badan, menjadikan Marquez pelumba pertama dalam sedekad memimpin setiap sesi hujung minggu, sejak dia sendiri melakukannya di GP Jerman 2015.
Turut mencuri tumpuan ialah Alex Marquez, yang menamatkan saingan di tempat kedua bersama pasukan Gresini Racing, menjadikan perlumbaan itu podium ‘adik-beradik’.
Tempat ketiga menjadi milik Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo), yang terus kekal dalam buruan kejuaraan namun kini semakin terasa tekanan daripada Marquez.
Marquez kini semakin selesa di puncak carta keseluruhan, dan dengan momentum sedia ada, ramai menjangka bekas juara dunia enam kali itu bakal menggegarkan semula pentas MotoGP selepas beberapa musim dibelenggu kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd