Marquez 'raja' perlumbaan pecut

Marquez 'raja' perlumbaan pecut

Assen: Pelumba Ducati, Marc Marquez memenangi perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Belanda, hari ini walaupun memulakan saingan dari petak keempat.

Dia mendahului perlumbaan seawal pusingan pertama untuk mencatat kemenangan perlumbaan pecut kesembilan musim ini, mengatasi adiknya, Alex Marquez dari Gresini Racing.

Pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga – podium pecut pertamanya sejak 2023 – manakala pelumba Yamaha yang bermula di petak utama, Fabio Quartararo, terjatuh ketika berbaki empat pusingan.

Marc kini melebarkan pendahuluannya dalam kedudukan kejuaraan kepada 43 mata mengatasi Alex menjelang perlumbaan utama esok.

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia yang berada di tangga ketiga kejuaraan, hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelima di belakang pelumba VR46 Racing, Fabio Di Giannantonio.

Kemenangan ini menjadi suntikan keyakinan besar buat Marc selepas dua kali terjatuh dalam sesi latihan dan kini dia memburu kemenangan pertamanya di Assen sejak kali terakhir melakukannya pada 2018.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top