georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Marsha Milan terharu dan berbangga apabila dijemput khas membuat persembahan di Malaysia Fest atau MFest yang berlangsung di Tumbalong Park, Sydney, Australia pada 22 November lalu.
Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh, 40, berkata melihat kegembiraan pengunjung membuatkan hatinya tersentuh dan menganggap ia sebagai pencapaian besar sebagai anak seni.
“Detik paling istimewa bagi saya adalah melihat semua orang menyanyi dan menari bersama. Sebagai seorang penyanyi, sokongan seperti itu adalah pencapaian terbesar.
“Insya-Allah, saya berharap peluang ini menjadi batu loncatan untuk terus melangkah lebih jauh sama ada melalui persembahan atau karya baharu yang mampu menyentuh hati semua pendengar,” katanya.
Festival budaya tahunan yang menghimpunkan rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa itu berjaya menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang hari.
Tampil dengan persembahan penuh bertenaga dan menyentuh jiwa, Marsha membawakan lagu popularnya seperti Hening Rindu dan Cinta yang mendapat sorakan gemuruh penonton.
Paling meriah apabila dia membawakan rangkaian lagu Borneo, termasuk Sumandak Sabah, Pelangi Pasti dan Nalan Nalan di mana pengunjung terutama komuniti Malaysia turut serta menari.
“Saya berasa sangat bangga dipilih mewakili Malaysia di Sydney. Melalui album Misompuru serta lagu seperti Cinta dan Hening Rindu, saya dapat mengetengahkan keindahan budaya dan muzik negara kita kepada khalayak antarabangsa,” katanya.
Menceritakan persiapan khusus di Sydney, Marsha bersama pasukannya memastikan persembahan berjalan lancar dan bertenaga.
“Kami turut dibantu penari daripada Wandie Space Art Performance dan saya sekali lagi bekerjasama dengan Saerah untuk menghasilkan tata gaya kontemporari-tradisional sepanjang persembahan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Kebimbangan saya hanyalah mengenai tenaga dan momentum pentas, tetapi hasilnya sangat memuaskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFest, Syahmi Ismail mengakui penganjuran edisi kali ini membawa misi lebih besar dan mendalam dengan penampilan Marsha menjadi bukti bahawa acara itu perlu diperluaskan.
“Penganjuran festival ini adalah simbol sokongan golongan belia dan pelajar Malaysia di Sydney terhadap kempen Visit Malaysia 2026, selain mempromosikan negeri dan budaya kita kepada dunia.
“Pemilihan artis sangat teliti kerana mereka akan menjadi ‘Suara Malaysia’ dan mestilah ikon seni yang berpengaruh,” katanya.
MFest antara platform luar negara paling berpengaruh dalam mempromosikan warisan budaya, muzik, seni dan identiti Malaysia kepada khalayak global.
Tahun ini, ia mendapat penyertaan komuniti Malaysia dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak sekali gus menjadikannya perayaan budaya terbesar dianjurkan oleh diaspora Malaysia di Sydney.
© New Straits Times Press (M) Bhd




