Marta Malaysia' sebenarnya si budak nakal

Marta Malaysia' sebenarnya si budak nakal

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuching: Gaya lincah mengelecek satu persatu lawan di atas padang pada setiap perlawanan menyebabkan kapten pasukan bola sepak wanita Selangor, Nur Ainsyah Murad digelar sebagai ‘Marta’ versi Malaysia.

Malah, corak permainan cukup padu dengan mengawal pasukan di bahagian tengah selain berkeupayaan merencana serangan hingga menjaringkan gol turut tular di media sosial sekali gus ramai menganggap dia adalah aset penting untuk negara pada masa akan datang.

Nur Ainsyah ketika ditemui sebaik tamat perlawanan final semalam sememangnya tidak menyangka kelincahannya mengelecek dari bahagian tengah padang hingga menjaringkan gol tular di media sosial.

“Ada yang menunjukkan pada saya video tular itu memang terkejut dan kawan-kawan yang menunjukkan pada saya.

“Jika diikutkan, saya dahulu bukan seperti ini namun sukan bola sepak mengubah ke arah lebih baik terutamanya apabila diberikan tanggungjawab memimpin pasukan.

“Pada masa sama, jurulatih pasukan wanita kebangsaan Soleen Al-Zou’bi juga banyak memberikan tunjuk ajar dan saya juga berjanji padanya untuk kekal konsisten dalam bola sepak,” kata pemain yang lahir di Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, Nur Ainsyah membantu Selangor bergelar juara Sukma Sarawak selepas menewaskan Sabah 3-1.

Kejayaan anak buah Osmera Omaro itu memastikan sejarah baharu buat arena bola sepak Selangor memandangkan ini adalah penganjuran sulung bola sepak wanita di pentas Sukma.

Sementara itu, pemain berusia 21 tahun itu berkata, sukan bola sepak banyak mengubah karakternya dari seorang digelar budak nakal kepada pemain yang cukup berdisplin dan konsisten di atas padang.

“Sebelum ini saya agak nakal dan tak dengar kata. Malah turut panas baran namun apabila diberikan tanggungjawab memimpin pasukan sudah pastinya karakter itu berubah.

“Saya berharap mampu pergi jauh dalam bola sepak dengan berusaha untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya yang mula menceburi sukan bola sepak dua tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top