Marta selar CONMEBOL

Marta selar CONMEBOL

Rio de Janeiro: Pemain Brazil termasuk Marta, pemenang enam kali Anugerah Pemain Terbaik FIFA mengkritik CONMEBOL dan penganjur Copa America Wanita di Ecuador kerana mewajibkan pemain melakukan sesi memanaskan badan di kawasan tertutup dan sempit, bukan di atas padang.

Imej yang tular di media sosial sebelum kemenangan besar Brazil ke atas Bolivia dalam perlawanan kedua Kumpulan B Selasa lalu, menunjukkan pemain kedua-dua pasukan melakukan sesi memanas badan bersebelahan kawasan sempit di Stadium Gonzalo Pozo Ripalda.

Menurut peraturan kejohanan, langkah itu diambil bagi mengelakkan kerosakan permukaan padang yang digunakan untuk dua perlawanan sehari sepanjang peringkat kumpulan.

Marta yang kembali daripada persaraan antarabangsa untuk menyertai kejohanan benua itu, meluahkan rasa kekecewaannya.

“Sudah lama saya tidak bermain dalam kejohanan di Amerika Selatan, dan keadaan seperti ini sangat menyedihkan. Pemain bola diminta untuk bermain dengan cemerlang dan bekerja keras.

“Tetapi dalam masa yang sama kami juga berhak menuntut tahap penganjuran yang tinggi. Tiada ruang mencukupi untuk kedua-dua pasukan memanaskan badan, tetapi semua mahu bersedia.

“Saya benar-benar tidak faham kenapa kami tidak dibenarkan melakukan pemanasan di atas padang. Ini menyusahkan kami kerana suhu sangat panas di dalam ruangan tertutup, ditambah pula dengan faktor altitud.

“Kami berharap CONMEBOL akan melakukan perubahan dan memperbaiki keadaan ini,” kata penyerang berusia 39 tahun itu kepada media Globo Esporte.

Jurulatih bola sepak Wanita Brazil, Arthur Elias, turut menyuarakan kebimbangan yang sama dan menegaskan bahawa keadaan itu berisiko terhadap kesihatan pemain.

“Kami sepatutnya tidak perlu meminta pihak yang bertanggungjawab untuk menjalankan tugas mereka, sama seperti pemain di atas padang dan saya sebagai jurulatih.

“Isu memanaskan badan ini sangat merisaukan saya. Ia penting untuk kesihatan pemain dan juga prestasi dalam perlawanan kerana jika kedua-dua pasukan tidak memanaskan badan di atas padang, mereka akan mengambil masa lebih lama untuk menyesuaikan diri dalam permainan,” kata Elias.

Pemain tengah Brazil, Ary Borges pula mengkritik secara langsung Presiden CONMEBOL, Alejandro Dominguez dan membandingkan perbezaan ketara antara kejohanan lelaki dan Wanita.

“Perlawanan amatur pun lebih tersusun daripada apa yang kami lalui di sini. Cuba tanya Alejandro (Dominguez), adakah beliau mampu memanaskan badan di ruang sebesar lima atau sepuluh meter yang berbau cat?.

“Kita lihat bagaimana Copa America Lelaki dijalankan dengan infrastruktur yang hebat. Mengapa kejohanan wanita perlu berdepan perkara sebegini. Ini adalah isu yang perlu diberi perhatian oleh beliau sebagai presiden. Saya rasa kami layak mendapat layanan yang lebih baik,” kata Borges.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top