bhnews@bh.com.my
JERANTUT: Seorang peniaga martabak di FELDA Kota Gelanggi Dua dekat sini, menjadi tumpuan ramai yang mahu membeli martabak daging rusa dijualnya sebagai juadah berbuka puasa.
Erma Diana Apwa, 42, berkata setiap petang, beliau menjual 150 keping martabak tetapi martabak daging rusa akan habis lebih awal berbanding martabak daging dan ayam kerana ramai penggemar martabak mahukan kelainan.
“Saya menyediakan lima kilogram daging rusa segar setiap hari untuk dijadikan inti martabak yang dijual RM7 sekeping.
“Bekalan daging rusa segar diperoleh daripada pembekal daging di bandar Jerantut dan setiap pagi, saya dengan dibantu suami, Mohd Shahrul Shamsudin, 49, akan memprosesnya untuk dijadikan bahan campuran martabak,” katanya.
Erna Diana bersama suami berniaga roti canai sejak 10 tahun lalu, tetapi menjual martabak hanya pada bulan Ramadan.
“Bagi mengelak kehabisan, pelanggan biasanya membuat tempahan awal martabak daging rusa, selain ada yang datang awal untuk membelinya.
“Martabak daging rusa dijual RM7 sekeping, manakala martabak daging dan ayam masing-masing RM5,” katanya.
Erna Diana berkata, martabak daging rusa sering menjadi pilihan kerana tekstur dagingnya lebih halus, mempunyai aroma dan rasanya lebih sedap berbanding daging dan ayam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




