Martabat Jenama Fesyen Lokal, Nora Danish Perkenalkan Koleksi Denim Eksklusif ‘Nora Danish x Marii for Amber’

Martabat Jenama Fesyen Lokal, Nora Danish Perkenalkan Koleksi Denim Eksklusif ‘Nora Danish x Marii for Amber’

Pelakon dan ikon gaya, Nora Danish melangkah setapak lagi dalam dunia fesyen apabila melancarkan kolaborasi istimewa, Nora Danish x Marii for Amber.

Koleksi denim jeans eksklusif ini dihasilkan menerusi kerjasama bersama jenama fesyen tempatan Marii by Farra dengan sokongan platform fesyen Amber.

Koleksi tersebut menampilkan rangkaian denim jeans dengan pelbagai potongan dan siluet yang dirangka khusus untuk wanita moden. Setiap rekaan menitikberatkan keseimbangan antara gaya, keselesaan dan keanggunan, menjadikannya sesuai digayakan dalam pelbagai situasi.

Potongan kemas, perincian teliti serta sentuhan sofistikated yang sinonim dengan identiti Marii disesuaikan dengan cita rasa serta personaliti Nora Danish.

Kolaborasi ini mempertemukan kepakaran rekaan Marii dengan peranan Amber sebagai platform strategik yang membantu memperluaskan capaian koleksi tempatan ke pasaran lebih besar. Usaha ini secara tidak langsung mengangkat nilai kreativiti pereka tempatan ke tahap yang lebih tinggi dan berdaya saing.

Diasaskan oleh Farra, Marii dikenali sebagai rumah fesyen pereka yang menekankan elemen keanggunan, kesopanan dan siluet yang halus. Meskipun berteraskan konsep elegan dan demure, koleksi denim ini diberikan sentuhan moden melalui penerokaan potongan, tekstur dan perincian, menjadikannya versatil untuk gaya kasual mahupun semi formal.

Nora Danish menjelaskan bahawa penglibatannya dalam kolaborasi ini didorong oleh hasrat untuk terus menyokong perkembangan jenama tempatan yang mempunyai identiti dan kualiti tersendiri.

“Saya sentiasa menyokong usaha jenama tempatan yang jelas visi dan standard kerjanya. Kolaborasi ini sangat istimewa kerana Marii diasaskan oleh Farra yang sudah lama saya kenali. Melihat hasil kerjanya berkembang dan dipasarkan melalui platform yang tepat benar-benar membanggakan,” katanya.

Menurut Nora, koleksi denim ini direka dengan mengambil kira keperluan wanita yang mahukan pakaian serba guna, mudah dipadankan dan sesuai untuk pelbagai acara, tanpa mengetepikan elemen feminin serta elegan.

Dalam pada itu, Amber yang diasaskan oleh Datuk Adzliana Datuk Seri Dr Hasan memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dan pemangkin kepada kolaborasi ini. Platform tersebut terus komited menyediakan ruang dan sokongan kepada pereka serta produk tempatan untuk berkembang secara mampan dalam industri fesyen.

Wakil Amber berkata, platform itu percaya kepada potensi jenama tempatan dan berhasrat menjadi jambatan yang membantu rekaan tempatan menembusi pasaran lebih luas, bukan sahaja dari sudut komersial tetapi juga melalui nilai serta penceritaan jenama.

Dari aspek identiti, Marii by Farra mengetengahkan karakter wanita yang anggun, sopan dan yakin, namun tetap berani meneroka elemen segar dan menyeronokkan dalam gaya berpakaian. Pendekatan ini selari dengan koleksi Nora Danish x Marii for Amber yang menyasarkan pengguna kelas pertengahan hingga tinggi yang menghargai fesyen beridentiti, berkualiti dan praktikal.

Scroll to Top