Madrid: Kemenangan dominan Marco Bezzecchi di Grand Prix (GP Thailand memang mencuri tumpuan, tetapi rakan sepasukan, Jorge Martin dari Aprilia Racing Team turut gembira dengan penamat keempat.
Bekas juara dunia itu, yang hanya menjalani dua hari ujian pra-musim akibat pembedahan susulan kecederaan tahun lalu, menilai perlumbaan di Buriram sebagai ‘9 daripada 10’.
Antara detik terbaik Martin termasuklah bertarung dengan Marc Marquez dan Pedro Acosta sebelum menamatkan perlumbaan tiga saat di belakang Raul Fernandez dari Trackhouse Aprilia.
Mungkin yang paling penting, selepas musim 2025 yang musnah akibat pelbagai kecederaan, Martin merasakan dia ‘sama seperti dahulu’ buat pertama kali menunggang Aprilia.
“Selepas hanya dua hari menjalani ujian, memperbaiki asas tunggangan dan menamatkan perlumbaaan di kedudukan lima teratas dalam kedua-dua perlumbaan dan kelayakan, ia memang sesuatu yang bagus.
“Pada permulaan grand prix, saya rasa sangat baik. Saya kembali bertarung dengan Marc dan Pedro. Saya rasa sama seperti dahulu.
“Saya perlu terus memperbaiki prestasi untuk mengejar Marco dan yang lain. Raul tidak terlalu jauh daripada saya, jadi podium dalam jangkauan.
“Saya boleh beri penilaian 9 daripada 10 kerana kedudukan itu mungkin lebih baik, tetapi saya sangat gembira menamatkan perlumbaan.
“Secara keseluruhan, saya bekerja sangat keras sepanjang hujung minggu ini untuk memahami perkara-perkara kecil yang boleh diperbaiki,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




