Martin minta nasihat Bagnaia bagaimana untuk muncul juara

Martin minta nasihat Bagnaia bagaimana untuk muncul juara

Barcelona: Pendahulu keseluruhan, Jorge Martin, mencadangkan pesaing terdekatnya dan sahabat baik, Francesco Bagnaia, sepatutnya memberi nasihat cara untuk meraih gelaran dunia pertamanya pada Grand Prix (GP) Barcelona hujung minggu ini.

Martin beraksi di Barcelona dengan kelebihan 24 mata berbanding Bagnaia, yang hampir berbeza dengan musim lalu apabila pelumba Itali itu berjaya mempertahankan kelebihan 21 mata menjelang perlumbaan terakhir.

Martin akan merangkul gelaran jika dia memenangi perlumbaan pecut esok, tetapi jika dia melakukan sebarang kesilapan, Bagnaia berpotensi merampas kedudukan teratas daripadanya.

“Mungkin ‘Pecco’ (Bagnaia) boleh beri saya nasihat kerana dia pernah berada dalam keadaan ini tahun lalu,” kata Martin dalam sidang media pra perlumbaan, sebelum menjelaskan strategi barunya musim ini.

“Bagi saya, ini bukan soal mata. Saya mendekati hujung minggu dengan cara yang berbeza. Musim lalu, saya sentiasa berfikir membuat sejarah atau hanya fokus pada gelaran.

“Tahun ini, saya tidak memikirkannya. Saya tidak memikirkannya sepanjang musim ini, jadi saya mahu fokus pada apa yang saya boleh kawal, iaitu menunggang motosikal 100 peratus dan kekal prestasi terbaik 100 peratus.

“Tahun lalu, saya tidak melakukan itu di penghujung musim. Sekarang saya rasa bersedia, bertenaga dan boleh menjalani hujung minggu yang hebat.”

Selepas dua gelaran dunia berturut-turut, Bagnaia melalui musim cemerlang lagi, dengan 10 kemenangan GP dari 19 perlumbaan, tujuh lebih banyak daripada Martin.

Namun, aksi konsisten Martin, membantunya meraih 10 tempat kedua dan hampir merangkul gelaran dunia.

“Saya rasa lebih bebas kerana saya hanya perlu lakukan apa yang saya boleh buat, nikmati hujung minggu dan cuba menang,” kata Bagnaia sambil duduk di sebelah Martin.

“Tahun lalu, saya cuba untuk kekal tenang, tetapi saya agak lebih gementar. Tetapi Ahad ini, jika Jorge terlepas brek di selekoh pertama dan dari situ semuanya menjadi lebih mudah.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top