Martin takluk GP Indonesia

Martin takluk GP Indonesia

Lombok: Jorge Martin memenangi MotoGP Indonesia yang penuh dengan insiden kemalangan, hari ini untuk mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan kejuaraan dunia.

Manakala pesaing terdekatnya, Francesco Bagnaia, berjaya menyambar podium ketiga.

Kemenangan itu menyaksikan pelumba Pramac itu memiliki kelebihan 21 mata di hadapan pesaingnya dari Ducati, Bagnaia, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang pelumba Sepanyol, Pedro Acosta, dalam keadaan panas terik di Litar Mandalika.

Di hadapan 60,000 penonton di Indonesia yang sangat meminati sukan permotoran, pelumba berusia 26 tahun itu bangkit selepas terjatuh dalam perlumbaan pecut, semalam yang dimenangi oleh Bagnaia.

“Terima kasih Indonesia. Saya sangat gembira. Ini bukan sekadar kemenangan. Selepas apa yang berlaku musim lalu, selepas kemalangan semalam, untuk beraksi dengan baik hari ini agak sukar.

“Saya percaya pada diri sendiri tetapi saya fikir saya akan terjatuh di setiap selekoh. Pedro memberikan tekanan yang hebat jadi saya sangat gembira,” kata Martin.

Berlaku pertarungan sengit antara pelumba Itali untuk merebut podium terakhir membabitkan Bagnaia, Enea Bastianini, Franco Morbidelli dan Marco Bezzecchi.

Namun, Bagnaia, yang memenangi perlumbaan di Mandalika tahun lalu, berjaya meraih podium ketiga selepas rakan sepasukannya, Bastianini, terjatuh ketika berbaki enam pusingan dan dia berjaya memintas Morbidelli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top