Manchester: Pertahanan Manchester United, Lisandro Martinez mengkritik pengurusan tertinggi kelab itu selepas pasukannya tewas 2-0 kepada Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi, sambil menegaskan beliau mengharapkan pelaburan lebih besar bagi membantu pasukan bersaing pada tahap tertinggi.
Pemain antarabangsa Argentina itu secara khusus menyuarakan kritikan terhadap pengarah bola sepak kelab, Jason Wilcox, dengan menegaskan United memerlukan lebih banyak pemain baharu untuk menyaingi pencabar dan membina skuad yang mampu bersaing di Eropah.
“Saya mengharapkan lebih daripada pengarah teknikal kami. Saya perlu berterus terang. Sebagai pemain, kami juga perlu melakukan lebih banyak lagi,” kata Martinez kepada Amazon Prime.
Atletico membuka jaringan menerusi Pablo Barrios pada minit pertama di Stadium Metropolitano sebelum Ademola Lookman memastikan kemenangan tuan rumah pada minit ke-79, sejurus selepas pertahanan United, Leny Yoro dilayangkan kad merah.
Keputusan itu memanjangkan rekod tanpa kemenangan skuad kendalian Michael Carrick kepada lima perlawanan merentasi semua kejohanan, selain menyaksikan United kekal dengan tiga mata dalam fasa liga UCL selepas membuka kempen dengan kemenangan 4-0 ke atas Sabah FK.
United kembali beraksi dalam UCL selepas dua musim tidak menyertai kejohanan itu, susulan penamat di tangga tercorot kumpulan dalam penampilan terakhir mereka pada musim 2023-24.
“Kami menikmati musim yang hebat musim lalu dan kini kami mengharapkan lebih banyak usaha daripada pihak atasan, termasuk membawa masuk lebih ramai pemain untuk membolehkan kami bersaing kerana banyak pasukan lain juga sudah mendapatkan ramai pemain baharu,” tambah Martinez.
United yang kini menduduki tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris akan bertandang ke gelanggang Leeds United pada Ahad ini sebelum menentang Como dalam aksi UCL seterusnya pada 21 Oktober.
© New Straits Times Press (M) Bhd




