DUA triatlet utama negara, Martyn Lim dan Esther Joy Chen membuktikan kemampuan apabila menjuarai saingan elit Sprint Kejohanan Persekutuan Triatlon Asia Tenggara (SEA) sempena Festival Multisukan Perak di Marina Island Pangkor Resort & Hotel, Lumut pada Sabtu.
Martyn yang menamatkan perlumbaan tahun lalu di tempat kelima menebus kekecewaan dengan catatan masa 1 jam 3 minit 57 saat (1:03:57) untuk mengungguli perlumbaan lelaki.
Perlumbaan tersebut menggabungkan disiplin renangan 750 meter (m), berbasikal 20 (kilometer)km dan larian 5km.
Beliau mengatasi rakan senegara dan pemenang pingat perak Sukan SEA 2015, Rikigoro Shinozuka (1:05:25), manakala Russel Lee (1:06:10) dari Singapura menduduki tempat ketiga.
“Saya tidak datang dengan jangkaan tinggi kerana sedar bahawa saya harus mempamerkan aksi yang terbaik dalam berenang.
“Mujur saya dapat lakukannya dengan baik untuk mengekori rapat pesaing-pesaing lain, dan apabila beralih kepada rutin berbasikal, saya berkayuh dengan laju dan mula memperoleh rentak.
“Ketika larian, akhirnya saya berjaya membuka satu jurang yang agak selesa sebelum mengekalkan rentak sehingga ke akhir perlumbaan,” ujar Martyn.
Pengalaman bertanding di lokasi yang sama sebelum ini juga dilihat memberi kelebihan buatnya.
“Itu memang banyak membantu. Saya tahu bila akan ada peluang untuk ‘attack’, bila perlu simpan tenaga dan detik terbaik untuk saya memulakan pecutan ke garisan penamat.
“Saya sangat berpuas hati dengan apa yang saya capai hari ini(Sabtu),” ujar Martyn.
Edisi tahun ini berlangsung meriah dengan menghimpunkan lebih 1,000 atlet daripada lebih 20 negara.

Esther mengungguli kategori wanita saingan elit Sprint Kejohanan Persekutuan Triatlon Asia Tenggara di Lumut pada Sabtu.
Dalam saingan elit wanita, Esther pula menamatkan perlumbaan dengan masa 1:10:25, jauh meninggalkan dua wakil Singapura, Lim Wan Ting (1:12:48) dan Regine Goh (1:15:07).
Ia merupakan peningkatan berbanding pencapaian naib juaranya tahun lalu.
“Kemenangan ini bukan diraih dengan kelajuan semata-mata, tapi lebih kepada cara saya mengurus perlumbaan.
“Saya betul-betul mencabar diri terutama semasa renangan dan kayuhan. Ia bukan mengenai siapa paling laju – tetapi siapa paling bijak mengatur strategi,” katanya.
Setelah turut bergelar juara kebangsaan dalam satu perlumbaan di Putrajaya awal tahun ini, Esther berharap dapat meraih kelayakan untuk mewakili negara pada Sukan SEA.
“Saya serah kepada jurulatih dan pihak persatuan. Tapi berdasarkan keputusan-keputusan sebelum ini, saya harap diberi peluang. Fokus asal saya adalah duathlon yang merupakan acara kegemaran, tapi tiada acara individu tahun ini.
“Jadi saya alihkan tumpuan sepenuhnya kepada triatlon. Kalau renangan saya boleh capai standard yang diperlukan, saya percaya saya dapar mencabar kedudukan podium,” katanya.
Esther sebelum ini melakukan penampilan sulung di Sukan SEA Hanoi pada 2022 walaupun selepas hanya enam bulan berkecimpung dalam sukan triatlon.
Malah, dia mempunyai latar belakang yang unik apabila bertukar minat dalam jenis sukan.
“Saya sebenarnya merupakan atlet wushu. Saya pernah menyertai skuad kebangsaan dalam
disiplin Nanquan untuk setahun setengah sebelum wabak Covid-19 melanda.
“Saya meninggalkan sukan wushu kerana hilang minat. Ketika itu, kita tidak dapat berlatih dan langsung tiada pertandingan. Apa yang menariknya, saya tidak menghadapi banyak masalah untuk beralih ke sukan triatlon.
“Saya dapat berkayuh basikal dengan baik sekali kerana adanya kekuatan otot kaki. Saya telah banyak membina kekuatan kaki ketika latihan wushu, dan ia memang membantu terutama dalam aspek kayuhan. Kekurangan saya bukanlah tenaga, tetapi kemahiran,” ujar Esther.
Sebagai rekod, Festival Multisukan Perak berlangsung selama dua hari dan merangkumi acara triatlon dan duatlon.