Pemenang rancangan realiti nyanyian popular, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) iaitu Marygrace mengaku teruja apabila dapat berkolaborasi bersama pemuzik dan komposer Indonesia, Ade Govinda.
Kata Marygrace, ia bagaikan sebuah mimpi apabila dapat bekerjasama dengan pemuzik besar seperti Ade menerusi lagu baharunya berjudul, ‘Lama-Lama Pudar’.
Malah, dia bersyukur menjadi antara yang dipilih menerima lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ade Govinda.
“Menang OIAM dan kini dapat berkolaborasi bersama Mas Ade Govinda betul-betul macam mimpi. Unbelievable dan unexpexted.
“Sebab, sebelum ini saya bukan dalam bidang ni…memang lari jauh, dan sekarang memang mustahil bagi saya untuk menyanyi dengan artis nama-nam besar macam ni.
“Tapi apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Ade dan dia pula banyak mengajar saya dan dapat pula lagu yang dicipta sepenuhnya oleh beliau.
“Selain itu, saya juga menjadi salah satu artis yang membuat persembahan pada konsert Rossa. Jadi, ini adalah permulaan yang baik untuk saya selain lagu Titik Mula,” katanya.
Marygrace berkata demikian ketika ditemui XTRA ketika sesi rakaman bersama Ade Govinda yang diadakan di Petaling Jaya baru-baru ini.
Kolaborasi bersama Ade Govinda menerusi ‘Lama-Lama Pudar’

Mengambil Mahalini sebagai rujukannya, anak asal Sabah ini tidak kedekut berkongsi formulanya dalam memberikan ‘feel’ pada lagu ciptaan Ade.
Menurutnya, menyanyi lagu dengan vibes Indonesia ini sedikit berbeza kerana ia menuntut emosi dan pembawaan lagu itu.
“Memandangkan ini kali pertama saya menyanyikan lagu indonesian vibes, cara bekerja, feel nyanyian memang sangat berbeza untuk saya tapi saya cuba.
“Lagipun Mas Ade banyak membantu saya dari mula hingga akhir. Termasuklah cara bagaimana saya perlu memberikan emosi pada bait-bait lagu ciptaannya ini.
“Nak menyanyi lagu dengan vibes Indonesia ni sama seperti menyanyikan lagu Filipino. Dia punya pembawaan tu lebih kepada soul.
“Saya juga menjadikan Mahalini sebagai reference saya kerana jika kita tengok sendiri bagaimana dia menjiwai nyanyian dan emosi dalam setiap lagu-lagunya memang terbaik.
“Istimewanya lagu ini adalah ia daripada masa lalu saya. Dia menceritakan tentang sebuah perhubungan yang tiada hala tuju.
“Jadi inilah dia lagu Indonesia pertama saya. Lagu ini sedikit mencabar dan sedikit bernada tinggi. Tapi saya enjoy sahaja
“Apapun, saya cuba dan semuanya berjalan lancar, saya bersyukur,” jelasnya.
Seorang yang introvert

Meskipun diangkat sebagai juara CSOIAM, Marygrace mengakui dia sedikit kekok untuk bergaul dengan artis senior.
Perkara ini bukanlah disebabkan dia sombong, namun dia merasakan sedikit sukar untuk memulakan perbualan dengan artis bernama besar dan sudah lama dalam bertapak dalam industri.
Kongsi Marygrace, buat masa ini dia masih belajar daripada beberapa rakan artis yang dianggapnya sebagai kakak sendiri iaitu, Marsha Milan”, Ayu Damit dan Aisha Retno.
“Pengalaman selepas menang OIAM, saya perlu belajar benda baharu, saya perlu menjaga batas pergaulan dan eksklusiviti.
“Kalau dulu masa OIAM, saya okay sahaja, sebab we are the same level. Tapi sekarang sudah berbeza. Lagi ramai artis dan saya rasa segan.
“Thankfully, ada juga artis yang pandai menegur dan melayan saya dengan baik. Antaranya, Marsha, Ayu Damit dan Aisha Retno. Aisha ni memang good example untuk generasi sekarang. Dia selalu bagi advice yang saya perlu tahu,” ujarnya.




