Marzuki puas hati panahan Suresh

Marzuki puas hati panahan Suresh

Paris: Jaguh memanah para negara, S Suresh dijadual bertemu wakil Amerika Syarikat Eric Bennett yang pernah ditewaskannya ketika muncul juara dunia 2019 pada pusingan penyingkiran 1/16 recurve terbuka lelaki Sukan Paralimpik Paris 2024.

Walaupun menamatkan pusingan ranking dengan kedudukan ke-12 menerusi 625 mata di Invalides hari ini namun pemanah berusia 31 tahun boleh mendabik dada memperbaharui catatan musim terbaiknya iaitu 596 mata ketika saingan Ranking Memanah Para Dunia di Republik Czech, Jun lepas.

Bennett pula mengakhiri saingan di tempat ke-21 dengan 602 mata manakala wakil tuan rumah Guillaume Toucoullet mendominasi pusingan ranking tersebut dengan 652 mata.

Ketua jurulatih skuad memanah para negara Marzuki Zakaria yang gembira dengan keputusan dilakar Suresh berharap agar anak buahnya dapat mengekalkan momentum di pusingan seterusnya dijadual berlangsung 4 Sept ini.

“Saya mengharapkan agar sejarah lalu (final Kejohanan Memanah Para Dunia 2019) berulang lagi buat Suresh ketika menentang Bennett,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top