Mas Ermieyati letak jawatan Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah

Mas Ermieyati letak jawatan Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini meletak jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah.

Peletakan jawatan Ahli Parlimen Masjid Tanah merangkap Ketua Srikandi BERSATU dibuat Bersama 39 lagi ahli jawatankuasa (AJK) bahagian terbabit.

Perkara itu diumumkan Shahrul Azhar Amir yang turut meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha BERSATU Bahagian Masjid Tanah, selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat hari ini.

“Pada hari ini, BERSATU Bahagian Masjid Tanah telah mengadakan satu mesyuarat khas, ia dihadiri oleh AJK bahagian, ketua-ketua sayap serta ketua-ketua cawangan BERSATU Masjid Tanah.

“Pertemuan selama dua jam ini berlangsung dengan baik dan Ketua Bahagian telah memberi penjelasan tentang perkembang terkini konflik politik BERSATU.

“Sesi mesyuarat khas ini juga telah merakamkan secara sebulat suara tentang pendirian BERSATU Masjid Tanah bahawa tindakan ini dilakukan atas faktor telah kehilangan kepercayaan kami kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden.

“Dengan peletakan jawatan kami ini, maka dimaklumkan bahawasanya Jawatankuasa BERSATU Bahagian Masjid Tanah adalah dengan ini terbubar secara rasmi,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Mas Ermieyati ketika dihubungi BH turut mengesahkan peletakan jawatannya termasuk pimpinan bahagian yang lain.

Selain itu, pemimpin termasuk jawatankuasa (JK) BERSATU tiga bahagian di Perak turut mengumumkan peletakan jawatan susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti itu.

Mereka adalah Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Malim, Mohd Amran Ibrahim; Ketua BERSATU Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man dan Ketua BERSATU Bahagian Bagan Serai, Ismail Ali.

Mereka mendakwa peletakan jawatan mereka turut membabitkan kesemua ahli jawatankuasa (AJK) bahagian berkenaan.

Satu Bahagian BERSATU di Sarawak iaitu Bintulu juga mengikuti jejak mereka sekali gus menjadi bahagian pertama di negeri itu meninggalkan parti beramai-ramai.

Duke Janteng yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua BERSATU Bahagian Bintulu, berkata seramai 110 ahli termasuk kepimpinan bahagian, ketua cawangan, sayap wanita dan pemuda memilih untuk berundur serta memutuskan hubungan dengan parti.

“Kami tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan BERSATU yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.

“Parti ini telah menyimpang jauh daripada perjuangan asalnya, khususnya dalam mempertahankan hak dan kepentingan masyarakat pribumi Sarawak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top