Masa depan Mourinho cetus tanda tanya

Masa depan Mourinho cetus tanda tanya

MASA depan Jose Mourinho bersama AS Roma mencetuskan tanda tanya selepas pasukan bimbingannya kalah 1-4 kepada Sevilla dalam penentuan sepakan penalti aksi final Liga Europa di Budapest, awal pagi Khamis.

Meskipun masih mempunyai baki kontrak selama setahun, masa depan pengendali berusia 60 tahun itu mengundang persoalan sama ada akan kekal di ibu kota Itali selepas beliau turut dikaitkan dengan pemindahan ke Paris St Germain.

“Saya ada bercakap dengan kelab pada Disember ketika saya menerima tawaran dari pasukan kebangsaan Portugal.

“Saya tidak berhubung dengan sesiapa pun selepas itu. Saya mempunyai baki kontrak setahun lagi dan itulah situasinya.

“Saya perlu berjuang untuk pemain. Oleh itu tidak menyatakan secara objektif yang saya akan kekal,” kata Mourinho.

Kekalahan memeritkan itu menyaksikan Roma terlepas tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Ia merupakan kekalahan pertama Mourinho di pentas final Eropah namun dia tetap berbangga dengan prestasi anak-anak buahnya dan menyedari musim ini tidak berlangsung seperti diharapkan.

Malah tanpa berselindung beliau turut tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan.

“Kami sangat letih tetapi tetap bangga. Saya sentiasa berkata, kamu boleh tewas dalam perlawanan tetapi jangan sesekali maruah atau profesionalisme.

“Saya tewas kali ini tetapi saya pulang dengan rasa bangga. Pemain memberikan segala-galanya pada musim ini,” katanya.

Mourinho turut mengkritik pengadil Anthony Taylor yang banyak melayangkan kad kuning dalam perlawanan.