Masa depan Nusantara jadi tanda tanya

Masa depan Nusantara jadi tanda tanya

JAKARTA – Keputusan Mahkamah Perlembagaan Indonesia mengekalkan status Jakarta sebagai ibu kota buat masa ini membuka semula persoalan besar mengenai masa depan projek mega Ibu Kota Nusantara (IKN).

Walaupun Nusantara di Kalimantan Timur masih diiktiraf sebagai calon ibu kota baharu Indonesia, keputusan mahkamah menunjukkan proses pemindahan kuasa pentadbiran belum benar-benar selesai dan masih bergantung sepenuhnya kepada keputusan politik Presiden Prabowo Subianto.

Secara simbolik, keputusan itu memberi mesej bahawa Jakarta masih pusat kuasa sebenar Indonesia.

Ia, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada IKN akan benar-benar akan menggantikan Jakarta yang berisiko tenggelam menjelang 2050 atau sekadar menjadi projek jangka panjang yang bergerak perlahan tanpa hala tuju jelas.

Semasa era pentadbiran bekas Presiden, Joko Widodo atau Jokowi, IKN dianggap projek warisan nasional.

Istana Presiden yang siap dibina di IKN yang terletak di Kalimantan Timur. – Foto AFP

Istana Presiden yang siap dibina di IKN yang terletak di Kalimantan Timur. – Foto AFP

Nusantara dipromosikan sebagai lambang Indonesia moden yang mahu keluar daripada dominasi Jawa dengan memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan.

Jokowi melihat projek itu sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan, pencemaran, banjir dan ketidakseimbangan pembangunan di Jakarta.

Namun landskap politik berubah selepas Prabowo mengambil alih pentadbiran negara.

Fokus beralih

Walaupun kerajaan masih menegaskan projek diteruskan, fokus utama pentadbiran baharu kini lebih tertumpu kepada isu kos sara hidup, keselamatan makanan, subsidi tenaga dan kestabilan ekonomi.

Berbanding Jokowi yang agresif mempromosikan IKN, pendekatan Prabowo dilihat lebih berhati-hati.

Inilah sebabnya keputusan mahkamah menjadi sangat signifikan.

Ia bukan sekadar isu perundangan, tetapi gambaran bahawa kerajaan sendiri masih belum bersedia memindahkan sepenuhnya fungsi ibu kota ke Nusantara.

Hakikat bahawa keputusan akhir masih memerlukan dekri Presiden menunjukkan proses itu boleh ditangguhkan pada bila-bila masa bergantung kepada situasi politik dan ekonomi.

Projek mega tersebut melibatkan pembangunan pelbagai pejabat kerajaan dan unit perumahan.- Foto AFP

Projek mega tersebut melibatkan pembangunan pelbagai pejabat kerajaan dan unit perumahan.- Foto AFP

Cabaran terbesar IKN sebenarnya bukan membina bangunan kerajaan atau jalan raya.

Cabaran sebenar ialah bagaimana mahu menjadikan Nusantara sebuah bandar hidup yang mampu menarik penduduk, pelabur dan aktiviti ekonomi secara organik.

Banyak projek ibu kota baharu di dunia berdepan masalah sama apabila bandar dibina cantik tetapi gagal berkembang sebagai pusat ekonomi sebenar.

Setakat ini, Jakarta masih kekal pusat kewangan, perdagangan, politik dan sosial Indonesia.

Sebahagian besar syarikat, institusi kewangan dan jaringan ekonomi nasional masih tertumpu di kota itu.

Malah, ramai pemerhati percaya memindahkan ibu negara tidak semudah memindahkan pejabat kerajaan semata-mata.

Ia melibatkan perubahan budaya kerja, sistem birokrasi, jaringan perniagaan dan kehidupan berjuta-juta rakyat.

Kos dipersoalkan

Kos pembangunan yang dianggarkan mencecah 440 trilion rupiah (RM98 bilion) turut menjadi faktor utama projek itu mula dipersoalkan.

Dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, pemerintah perlu membuat keputusan memilih sama ada untuk meneruskan projek mega jangka panjang atau memberi keutamaan kepada isu domestik yang lebih mendesak.

Beberapa pengunjung bergambar di hadapan Istana Presiden di IKN selepas kawasan tersebut menjadi tumpuan ramai. - Foto AFP

Beberapa pengunjung bergambar di hadapan Istana Presiden di IKN selepas kawasan tersebut menjadi tumpuan ramai. – Foto AFP

Apa yang jelas, keputusan mahkamah kini meletakkan IKN dalam kedudukan yang lebih rumit.

Nusantara belum gagal, tetapi projek mega itu tidak lagi bergerak dengan keyakinan politik seperti pada era Jokowi.

Buat masa ini, Jakarta kekal ibu kota Indonesia manakala masa depan Nusantara masih bergantung kepada keberanian politik Prabowo dan kemampuan kerajaan meyakinkan rakyat bahawa projek tersebut masih relevan untuk masa depan negara.

Scroll to Top