London: Virgil van Dijk mengesahkan bahawa Liverpool masih belum menawarkannya perjanjian baharu biarpun kontraknya kini memasuki 12 bulan terakhir, sambil meminta The Reds untuk memperkuat skuad mereka pada musim panas ini.
Pemain Belanda itu menjadi salah satu tonggak kejayaan kelab beberapa tahun kebelakangan ini, menyertai Liverpool pada Januari 2018 apabila Jurgen Klopp membelanjakan wang yang menjadi rekod kelab untuk menandatanganinya.
Namun, Van Dijk mungkin meninggalkan kelab itu secara percuma dalam tempoh setahun dan mengakui tiada perkembangan mengenai masa depannya.
Liverpool enggan memberikan kontrak panjang kepada pemain yang seusia dengan Van Dijk yang baru sahaja berusia 33 tahun.
Biasanya, mereka hanya menawarkan kontrak satu tahun kepada pemain seusianya dengan Van Dijk tetap beraksi pada tahap yang tinggi.
Van Dijk sudah menunjukkan tanda-tanda kekecewaan apabila ditanya mengenai kontraknya tetapi selepas ditanya sekali lagi selepas kemenangan pramusim Liverpool ke atas Sevilla. Dia mengaku: “Tiada perubahan pada masa ini.”
Terdapat kebimbangan bahawa Van Dijk akan meninggalkan Anfield apabila Klopp memilih untuk meninggalkan Merseyside.
Dia membuat komen yang membayangkan kemungkinan akan meninggalkan kelab itu tetapi kemudian membuat pusingan u dan mendakwa komennya disalah tafsir dan terus menyatakan komitmennya kepada gergasi Liga Perdana itu.
Dia kemudiannya bercakap selepas Belanda tewas kepada England di separuh akhir Euro, beliau berkata: “Saya akan berfikir dengan teliti pada musim panas ini tentang apa yang saya mahu di peringkat kelab dan sebagai pemain antarabangsa.”
Liverpool mempunyai beberapa nama besar yang kontraknya semakin berakhir, yang akan meletakkan mereka dalam situasi sukar apabila musim semakin mendekat.
Antaranya Mohamed Salah juga mempunyai baki kontrak setahun, begitu juga dengan Trent Alexander-Arnold.
Van Dijk berkata menjelang aksi pembukaan liga: “Saya positif. Saya yakin. Jelas sekali, saya rasa kita perlu membuat beberapa perjanjian berdasarkan panjangnya musim ini, tetapi saya rasa mereka sedang bekerja di belakang tabir.
“Saya sepenuhnya yakin dan percaya kepada kelab, bahawa mereka akan melakukan perkara yang betul untuk kami dan mendapatkan skuad terbaik yang mungkin untuk bersaing dalam setiap pertandingan yang kami sertai.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




