Masa untuk Malaysia bertindak cepat!

Masa untuk Malaysia bertindak cepat!

Dunia perdagangan global baru saja menarik nafas lega apabila Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) pada 20 Februari lalu. Namun, kelegaan itu hanya bertahan beberapa jam.

Donald Trump, dengan gaya The Art of the Deal yang agresif, membuktikan beliau mempunyai lebih daripada satu ‘helah’ untuk mengunci pintu pasaran AS.

Langkah terbaharu beliau mengalihkan punca kuasa ke Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 bukan sekadar tindak balas undang-undang. Ia adalah satu pengisytiharan perang ekonomi yang lebih terancang.

Dengan menaikkan pertaruhan dari 10 peratus ke 15 peratus di bawah alasan ‘defisit imbangan pembayaran’, Trump kini mengheret rakan dagang global ke meja pertaruhan yang sangat berbahaya.

Penggunaan Seksyen 122 adalah langkah taktikal yang licik. Walaupun ia mengehadkan tempoh tarif kepada 150 hari kecuali dilanjutkan oleh Kongres, tempoh lima bulan ini sudah cukup untuk melumpuhkan perancangan korporat global.

Bagi Trump, ini adalah kelebihannya untuk memaksa negara lain melutut dalam rundingan dua hala.

Bagaimanapun, langkah ini juga mengundang risiko buat AS. Ini kerana jika mahkamah memutuskan selepas 150 hari bahawa penggunaan Seksyen 122 adalah tidak sah sejak hari pertama (void ab initio), kerajaan AS mungkin terpaksa memulangkan berbilion dolar tarif yang telah dikutip.

Ini kerana selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif yang diperkenalkan sebelum ini, Gabenor New York, Kathy Hochul meminta pentadbiran Trump membayar balik tarif sebanyak AS$13.5 bilion (kira-kira RM52 bilion).

Tarif berkenaan, kata Hochul, menyebabkan purata isi rumah New York menanggung kos tambahan sebanyak AS$1,751 (kira-kira RM6,820) sepanjang tahun lalu dan merugikan perniagaan kecil negeri itu.

Hochul menyertai Gabenor Illinois JB Pritzker dan Gabenor California Gavin Newsom yang turut meminta Trump membuat bayaran balik susulan keputusan Mahkamah Agung.

Menurut laporan Reuters, ahli ekonomi Model Belanjawan, Penn Wharton menganggarkan lebih daripada AS$175 bilion (kira-kira RM681 bilion) dalam kutipan tarif AS.

Secara teorinya, tarif AS sepatutnya mengukuhkan dolar kerana aliran modal kembali ke paras selamat. Tetapi, pasaran pada Februari 2026 menunjukkan fenomena yang mengejutkan. Ringgit telah mengukuh sehingga mencecah paras 3.88 berbanding dolar AS.

Mengapa ini berlaku? Pelabur kini melihat tarif 15 peratus ini bukan sebagai kekuatan AS, tetapi sebagai ‘cukai ke atas pertumbuhan AS’.

Inflasi di AS dijangka melonjak, memaksa pengguna mereka membayar lebih untuk barangan asas. Sebaliknya, Malaysia muncul sebagai destinasi alternatif. Dengan pertumbuhan KDNK suku keempat 2025 yang mencecah 6.3 peratus, asas ekonomi kita terlalu kuat untuk diabaikan.

Modal mula beralih keluar dari dolar yang ‘toksik’ akibat ketidaktentuan politik ke arah pasaran membangun yang mempunyai produktiviti nyata.

Bagi Malaysia, situasi ini umpama satu kelebihan. Dengan kadar universal 15 peratus ini, Malaysia mempunyai ruang untuk menuntut pengecualian tambahan bagi sektor kritikal seperti sarung tangan getah dan solar yang kini menjadi keperluan mendesak di AS.

Malah, Malaysia sebagai hab utama semikonduktor dunia, tidak boleh sekadar menjadi penonton. Kita perlu terus mempelbagaikan rakan dagang dan memperkukuh blok ASEAN.

Jika dolar terus digunakan sebagai senjata, maka pengukuhan ringgit ke paras 3.88 ini mungkin bukan sekadar kebetulan, tetapi petanda awal peralihan kuasa ekonomi dunia ke timur.

Bagaimanapun, situasi ini menimbulkan kegusaran buat Malaysia. Walaupun Malaysia telah menandatangani perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada Oktober tahun lalu dengan kadar yang dirundingkan sebanyak 19 peratus, tarif global baharu 15 peratus ini memerlukan rundingan segera untuk mendapat kadar yang lebih rendah atau sekurang-kurangnya setara.

Malaysia juga perlu memanfaatkan RCEP dan CPTPP untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dengan mempercepatkan integrasi dalam blok RCEP (China, Jepun, Korea, Australia) dan CPTPP.

Langkah ini dianggap ‘insurans’ terbaik terhadap dasar AS yang tidak menentu.

Perniagaan Malaysia, terutama dalam sektor semikonduktor, sarung tangan dan minyak sawit perlu bertindak pantas.

Syarikat perlu menilai semula kos logistik dan input. Jika tarif 15 peratus dikenakan ke atas produk siap di AS, syarikat mungkin perlu memindahkan sebahagian proses nilai tambah dalam AS atau mencari kecekapan kos di peringkat domestik untuk menyerap kenaikan berkenaan.

Bagi syarikat yang bergantung 80 hingga 90 peratus kepada pasaran AS perlu segera mencari pembeli di pasaran alternatif seperti India, Timur Tengah, dan Asia Tengah yang menunjukkan pertumbuhan permintaan yang stabil.

Walaupun langkah ‘mengejut’ Trump ini menyuntik huru-hara ekonomi, namun ia boleh dilihat sebagai peluang baharu buat Malaysia.

Jika tarif global 15 peratus ini menyebabkan produk China menjadi jauh lebih mahal berikutan tarif tambahan ke atas China, produk Malaysia yang hanya dikenakan 15 peratus sebenarnya menjadi lebih kompetitif secara relatif di pasaran AS.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top