Masalah 19 tahun selesai!

Masalah 19 tahun selesai!

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Selepas kira-kira 10 tahun menanggung masalah bau busuk, penduduk serta peniaga berhampiran Jalan Perdana 4/6, Pandan Perdana di sini, boleh menarik nafas lega apabila rumah sampah haram yang dibina di kawasan itu dirobohkan.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), R Moganraj berkata, pihak berkuasa mengambil tindakan merobohkan tapak haram berkenaan yang dibina di tempat letak kenderaan tanpa kebenaran pada minggu lalu.

“Kami difahamkan rumah sampah itu digunakan oleh peniaga pasar pagi untuk membuang sampah namun lama-kelamaan ada sampah dari kawasan luar, seperti Maluri dan Cheras dibuang di sini (menyebabkan tidak terkawal).

“Kami percaya sampah itu daripada pengilang di kawasan berkenaan, mereka buang sampah industri. Melihatkan keadaan itu, maka perbincangan dibuat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Yiew Jia Haur setuju supaya tindakan merobohkan rumah sampah ini dilaksana,” katanya ketika ditemui.

Moganraj berkata, selepas ini kawasan rumah sampah itu akan dikembalikan sebagai tempat letak kenderaan yang merangkumi enam lot parkir dan kerja baik pulihnya dijangka siap bulan depan.

“Susulan perobohan juga, peniaga, pemilik premis serta penghuni rumah kedai di kawasan ini diminta untuk meletakkan sampah dalam plastik yang berikat dalam tong sampah di kawasan masing-masing.

“Sampah berkenaan akan dikutip pihak KDEB dua kali sehari iaitu jam 4 pagi bagi keseluruhan kawasan, manakala jam 2 petang bagi lokasi pasar pagi,” katanya.

Menurutnya, notis peringatan kepada semua pihak terbabit akan dikeluarkan untuk memastikan ia dipatuhi, selain penyediaan tong sampah sendiri.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan diambil mengikut undang-undang sedia ada.

Harian Metro semalam melaporkan keluhan penduduk Jalan Perdana 4/6, Pandan Perdana yang menanggung bau busuk sekian lama disebabkan rumah sampah haram.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top