Masalah brek punca treler langgar 8 kenderaan

Masalah brek punca treler langgar 8 kenderaan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Masalah brek menyebabkan sebuah treler melanggar lapan kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer (KM) 18.5 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaa’afar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 6.03 petang, semalam.

“Siasatan dilakukan mendapati kemalangan itu berlaku jam 2.10 petang, semalam, ketika treler berkenaan berada di lokasi yang menuruni bukit mengalami masalah brek.

“Situasi itu menyebabkan treler berkenaan melanggar lapan kenderaan lain yang dipandu perlahan kerana keadaan jalan sedikit sesak ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 berhubung kejadian itu.

“Kemalangan berkenaan juga mengakibatkan kerosakan terhadap beberapa kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan terbabit,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor M Sivam di talian 017-3290749 bagi membantu siasatan.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini termasuk kemalangan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana mereka yang tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top