London: Erik ten Hag tidak menolak untuk mendapatkan pemain secara pinjaman bagi mengatasi masalah kecederaan serta sakit yang memberi ancaman kepada usaha Manchester United bangkit daripada musim bermasalah mereka.
Ten Hag tidak dapat menggunakan sekurang-kurangnya 10 pemain senior ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Wigan pada pusingan ketiga Piala FA.
Pemain tengah Denmark, Christian Eriksen tidak dapat beraksi kerana sakit, manakala pemain sayap Brazil, Antony mengalami kecederaan.
Pemain simpanan United terdiri daripada barisan pemain muda, dengan pemain tertua di bangku simpanan ialah Facundo Pellistri yang berusia 22 tahun.
Walaupun Ten Hag yakin beberapa pemain boleh kembali semula untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham, Isnin ini, beliau sedar masih kekurangan khidmat pemain utama.
Dengan jendela perpindahan pada bulan ini sudah dibuka, pengendali dari Belanda itu ditanya sama ada United akan mempertimbangkan untuk meminjam pemain atau melakukan pembelian secara tetap.
“Kami mempertimbangkan segala-galanya apa yang terbaik untuk pemain dan juga untuk pasukan. Jadi sama-sama kita nantikan ketika jendela perpindahan pemain,” katanya.
United tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dan Piala Liga serta merosot di tempat kelapan Liga Perdana, sembilan mata di belakang pasukan empat teratas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




