Liverpool: Skuad Liverpool terpaksa membatalkan sidang media pra-perlawanan bagi aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Eintracht Frankfurt, hari ini selepas masalah teknikal menyebabkan penerbangan mereka ke Jerman tertangguh selama tiga jam.
Ryan Gravenberch tidak tersenarai dalam skuad 21 pemain yang akhirnya berlepas dari Merseyside selepas mengalami kecederaan buku lali ketika kekalahan 1-2 kepada Manchester United, Ahad lalu.
Juara England itu kini berdepan tekanan untuk mengelak kekalahan kelima berturut-turut sesuatu yang belum pernah berlaku dalam tempoh 73 tahun apabila menentang Frankfurt yang terkenal dengan gaya permainan menyerang.
“Sidang media pra-perlawanan bagi pertembungan dengan Eintracht Frankfurt dibatalkan,” menurut kenyataan rasmi kelab itu.
“Penangguhan penerbangan skuad ke Frankfurt disebabkan masalah teknikal pesawat menyebabkan sesi taklimat berkenaan tidak dapat diadakan.”
Ketiadaan Gravenberch mungkin membuka peluang kepada Florian Wirtz untuk kembali beraksi di tanah airnya sendiri.
Wirtz diketepikan oleh jurulatih Arne Slot dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mempamerkan prestasi hambar sejak perpindahan bernilai RM591 juta (£100 juta) dari Bayer Leverkusen.
Hugo Ekitike juga dijangka kembali disenaraikan menentang bekas kelabnya selepas berhijrah dari Frankfurt ke Anfield pada Julai lalu dengan nilai RM408.9 juta (£69 juta).
Kedua-dua pasukan kini mengumpul tiga mata masing-masing selepas dua perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




